Kementerian Luar Pantau Keselamatan Jemaah Umrah, Pelajara Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri sentiasa memantau perkembangan keselamatan rakyat Malaysia di Arab Saudi termasuk jemaah umrah dan pelajar susulan konflik di Timur Tengah.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara kekal menjadi keutamaan kerajaan.

“Pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia sentiasa memantau rapat perkembangan situasi keselamatan di seluruh dunia, termasuk perkembangan konflik di Timur Tengah,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Kapten Azahari Hasan (Padang Rengas) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan langkah kerajaan melindungi rakyat Malaysia termasuk jemaah umrah dan pelajar di Arab Saudi susulan peningkatan serangan dron serta peluru berpandu Houthi, termasuk ancaman keselamatan berhampiran Makkah.

Menurut Mohamad, susulan insiden di Makkah pada 15 September 2026, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan Kedutaan Besar Malaysia di Muscat masing-masing mengeluarkan notis konsular yang meminta rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Sehingga kini, seramai 2,334 rakyat Malaysia di Arab Saudi dan 582 orang di Yaman telah berdaftar dengan Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia.

Selain itu, pejabat perwakilan diplomatik turut mengadakan libat urus dengan kerajaan negara tuan rumah bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan serta mendapatkan perkembangan terkini situasi keselamatan.

Antara langkah yang diambil kerajaan ialah memastikan pelan kontingensi di semua Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara sentiasa dikemas kini.

“Pelan ini merangkumi pemetaan lokasi rakyat Malaysia, mekanisme komunikasi, penyelarasan sumber serta strategi evakuasi yang sistematik,” katanya.

Pelan berkenaan menjadi panduan operasi bagi memastikan bantuan dan proses pemindahan rakyat Malaysia dapat dilaksanakan secara teratur serta berkesan berdasarkan tahap risiko, perkembangan keselamatan setempat dan jumlah rakyat yang terjejas.

Dalam pada itu, kerajaan turut menggalakkan rakyat Malaysia di luar negara mendaftar dengan pejabat perwakilan diplomatik menerusi e-mel, panggilan telefon atau sistem e-Konsular bagi memudahkan penyelarasan bantuan dan operasi evakuasi.

Rakyat Malaysia juga digalakkan menggunakan aplikasi MyWorldAlert yang mempunyai fungsi komunikasi berasaskan lokasi menerusi Sistem Penentududukan Sejagat (GPS) bagi membolehkan mereka berhubung terus dengan pejabat perwakilan diplomatik Malaysia terdekat untuk mendapatkan bantuan konsular.

Kementerian turut mengeluarkan nasihat perjalanan, pemakluman media, notis konsular dan siaran akhbar menerusi saluran media sosial rasmi kementerian serta pejabat perwakilan diplomatik sebagai panduan kepada rakyat Malaysia yang berada di kawasan berisiko.

BBerkaitan

Latest articles