JAKIM Teliti Garis Panduan Elak Pekerja Islam Terbabit Urusan Jual Arak

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang meneliti penyediaan garis panduan kepada pekerja Islam di premis perniagaan bercampur bagi mengelakkan mereka terlibat secara langsung dalam urusan penjualan arak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, langkah itu antara pendekatan yang diberi perhatian bagi menangani isu penglibatan pekerja Islam dalam urusan jual beli minuman keras di kedai runcit dan serbaneka.

“Antara pendekatan yang sedang diberi perhatian, antaranya memperkukuh peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui pelaksanaan undang-undang kecil dan mekanisme pelesenan sedia ada secara lebih efektif,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tindakan susulan bagi mengelakkan individu Muslim terbabit dalam urusan jual beli arak di kedai runcit dan serbaneka.

Menurut Zulkifli, JAKIM melalui Bahagian Perundangan Syariah telah mengadakan sesi libat urus bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerajaan Tempatan, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Sumber Manusia bagi mendapatkan pandangan serta mengenal pasti pendekatan bersesuaian.

Katanya, JAKIM turut memberi perhatian kepada penyediaan garis panduan kepada orang Islam yang bekerja di premis bercampur, khususnya premis yang menjalankan aktiviti perniagaan membabitkan barangan halal dan tidak halal seperti arak.

“Langkah-langkah ini perlu diperincikan bersama PBT, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan agensi-agensi berkaitan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata, sebagai agensi penyelaras hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, JAKIM turut mengadakan perbincangan bersama JAIN bagi menyelaraskan pendekatan dalam menangani isu berkenaan.

Sebagai contoh, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melaksanakan pemantauan dan advokasi secara berkala di premis kedai serbaneka bagi meningkatkan kesedaran serta pematuhan terhadap ketetapan hukum syarak.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, kerjasama pengusaha premis juga penting bagi memastikan pekerja Islam tidak terlibat secara langsung dalam urusan penjualan arak.

“Majikan wajar mengambil langkah yang bersesuaian sama ada melalui penyusunan semula tugasan atau pengasingan kaunter pembayaran supaya pekerja Islam tidak terlibat secara langsung dalam urusan penjualan arak, tanpa menjejaskan peluang pekerjaan mereka,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles