KUALA LUMPUR: PAS tidak bercadang menyertai Pakatan Harapan (PH) atau menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya akan terus memperkukuh kerjasama politik bersama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 15 November lalu mahupun Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 17 November.
Menurutnya, kedua-dua mesyuarat berkenaan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh dan menambah baik kerjasama antara PAS, PN dan BN sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Untuk makluman, dalam Mesyuarat Tertinggi PAS pada 15 November 2026 dan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 17 November 2026, tidak ada satu pun agenda membincangkan hasrat PAS untuk menyertai PH atau menyokong PMX.
“Sebaliknya, perkara yang diberikan perhatian ialah bagaimana memperkukuh dan menambah baik kerjasama PAS Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) sebagai persiapan menghadapi PRU16,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kenyataan itu dipercayai sebagai respons terhadap cadangan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad yang menggesa PAS menamatkan kerjasama dengan UMNO dan beralih menyokong kerajaan pimpinan Anwar.
Idris berkata, PAS melihat perkembangan politik semasa sebagai gelombang kebangkitan rakyat yang memerlukan kerjasama lebih erat antara parti-parti politik Melayu terbesar di negara ini bagi membawa perubahan seperti diharapkan rakyat.
Beliau menegaskan PAS yakin berada di landasan perjuangan yang betul dan tidak mahu mengecewakan harapan majoriti rakyat, khususnya masyarakat Melayu Islam yang mengharapkan kepimpinan mampu mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara.
“PAS bukan parti yang tidak mempunyai pendirian sehingga mudah berubah haluan hanya kerana pelawaan politik.
“PAS mempunyai dasar, prinsip dan hala tuju perjuangan. Kerjasama politik dinilai berdasarkan kepentingan agama, rakyat dan negara, bukan kerana pujukan atau tawaran pihak tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyindir cadangan supaya PAS menyertai PH ketika gabungan itu berdepan prestasi kurang memberangsangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
“Yang menariknya, dalam suasana seperti ini, tiba-tiba PAS diajak menyertai PH dan meninggalkan kerjasama dengan UMNO, ketika pengaruh PH semakin kurus.
“Terbaru parti PKR dan PAN hanya mampu dapat telur ayam di PRN Melaka. Ha ha… macam-macam ada dalam politik!” katanya.
Beliau berkata, PAS akan terus istiqamah dengan prinsip perjuangannya dan tidak menjadikan penyertaan dalam kerajaan sebagai matlamat utama.
“Insya-Allah, PAS akan terus istiqamah. Bukan sekadar mencari tempat dalam kerajaan, tetapi berusaha membawa perubahan dan memenuhi harapan rakyat,” katanya.










