​KOTA BHARU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) hari ini mengetengahkan Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS 2051) sebagai pelan jangka panjang berasaskan acuan Islam bagi memandu pentadbiran serta pembangunan negara secara berfasa sehingga tahun 2051.
​Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata WINS 2051 menggariskan kerangka bernegara bertunjangkan prinsip Islam dan matlamat mewujudkan Negara Berkebajikan yang memberi tumpuan kepada pembangunan material dan insan secara menyeluruh.
​”WINS 2051 merangkumi pelan tindakan yang lebih terperinci bersama penanda aras jelas bagi mengukur pencapaian negara berlandaskan acuan Islam,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini hari ini.
​Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan wawasan tersebut dibahagikan kepada tiga fasa utama, bermula dengan pemulihan negara pada Fasa 1, mengangkat Malaysia sebagai negara model pada Fasa 2, dan seterusnya memposisikan negara di peringkat antarabangsa pada Fasa 3.
​”Tahun 2051 mempunyai makna tersendiri kerana ia menandakan genap satu abad penubuhan PAS sejak 1951, sekali gus menjadi tiang seri kepada pembinaan modal insan dan tata kelola yang bersih,” ujarnya.
​Bagi merealisasikan konsep tersebut, Abdul Hadi berkata parti itu memfokuskan lima tonggak utama merangkumi penegakan integriti dan keadilan politik menerusi kedaulatan undang-undang yang adil serta penentangan rasuah tanpa tindakan terpilih.
Selain itu, katanya, ia turut memberi tumpuan kepada kemakmuran ekonomi menerusi pertumbuhan berteraskan penciptaan nilai, pemerkasaan industri halal, dan pembasmian jurang ketidaksamaan wilayah.
​Tambahnya, pembangunan sosial dan modal insan pula menyepadukan elemen ilmu, iman, serta akhlak bagi menyiapkan generasi muda menghadapi era teknologi dan kecerdasan buatan.
“Bagi masyarakat majmuk, PAS menjamin keadilan serta hak masyarakat bukan Islam berpandukan prinsip Islam yang melarang asabiah dan fanatisme perkauman,” ujarnya.
​Mengulas mengenai hala tuju parti, Abdul Hadi tegah menegaskan persediaan kepimpinan mereka dalam menguruskan tadbir urus masa hadapan.
​”PAS kini berada pada tahap kematangan hasil penglibatan parti dalam kerajaan Persekutuan sebelum ini serta pengurusan di peringkat kerajaan negeri yang membuktikan keupayaan kita untuk mentadbir,” katanya.
​Beliau menambah bahawa PAS akan terus bekerjasama dengan golongan pakar, teknokrat, dan ilmuwan bagi mengemaskini pelan tindakan WINS 2051 sebagai persediaan menawarkan pendekatan pentadbiran terbaik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.










