Meta Akui Kesilapan Teknikal Jejas Sebahagian Akaun WhatsApp

CYBERJAYA: Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistemnya yang menyebabkan aktiviti pengguna WhatsApp yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan sehingga mengakibatkan akaun mereka digantung.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, perkara itu dimaklumkan Meta susulan isu penggantungan akaun WhatsApp yang dikemukakan kepada syarikat berkenaan sebelum ini.

Menurut MCMC, kesilapan teknikal itu dikenal pasti dalam lebih separuh daripada kes bagi kumpulan pertama yang dikemukakan kepada Meta.

“Kesilapan tersebut telah ditangani pada penghujung September dan akaun sah yang terjejas telah dipulihkan secara proaktif, termasuk sebahagian akaun yang belum mengemukakan rayuan,” menurut kenyataan MCMC pada Sabtu.

Meta turut mengesahkan tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp.

Bagaimanapun, bagi kes lain, Meta menjelaskan penggantungan akaun turut mengambil kira beberapa faktor, antaranya penggunaan nombor telefon kitar semula yang pernah dikaitkan dengan akaun yang disekat, aktiviti spam atau penipuan serta corak penggunaan yang dikesan sistem keselamatan WhatsApp.

MCMC berkata, laporan pengguna hanya menjadi salah satu faktor yang dinilai dan bukan satu-satunya asas bagi tindakan penggantungan akaun.

Bagi akaun perniagaan pula, Meta memaklumkan penghantaran mesej tanpa persetujuan atau dalam jumlah yang tinggi, khususnya kepada penerima yang bukan dalam senarai kenalan, boleh dikesan sebagai aktiviti spam.

Sehubungan itu, pengguna perniagaan disarankan mendapatkan persetujuan penerima terlebih dahulu sebelum menghantar mesej secara pukal.

Dalam pada itu, MCMC telah meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan supaya pengguna yang terjejas menerima pengesahan, maklumat status semakan serta tindakan yang lebih jelas dan pantas.

Pengguna yang terjejas turut disarankan menggunakan saluran rayuan dan sokongan rasmi WhatsApp.

“MCMC akan terus memantau penyelesaian kes yang masih tertunggak dan memastikan penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna mendapatkan semula akaun mereka.

“Tindakan kawal selia selanjutnya akan dipertimbangkan sekiranya langkah Meta didapati tidak memadai,” menurut kenyataan itu.

BBerkaitan

Latest articles