Banjir Nepal: Kementerian Sahkan Seorang Warga Malaysia Selamat, Usaha Kesan 54 Lagi Diteruskan

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan seorang lagi rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan belum dapat dihubungi susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal dan China berada dalam keadaan selamat, sekali gus menjadikan 54 individu masih belum dapat dikesan.

Dalam kenyataan pada Sabtu, kementerian memaklumkan individu berkenaan hadir ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober lalu sebelum identitinya disahkan pihak kedutaan.

Individu terbabit kemudian selamat pulang ke Malaysia pada 2 Oktober lalu.

“Susulan kepulangannya, pihak berkuasa berkaitan di Malaysia akan mengambil keterangan daripada individu berkenaan bagi melengkapkan rekod rasmi kes tersebut.

“Individu berkenaan juga akan menjalani saringan kesihatan, manakala Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan membuat pengesahan lanjut dengan pihak berkuasa Nepal serta meneliti semula rekod berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian berkata, pengesahan terbaharu itu menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi seramai 54 orang.

Menurutnya, setiap kes akan terus diteliti dan disahkan secara berasingan berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa berkaitan serta saluran rasmi yang tersedia.

Dalam perkembangan sama, kementerian memaklumkan operasi mencari dan menyelamat di Nepal telah ditamatkan susulan pengumuman rasmi National Disaster Risk Reduction and Management Authority Nepal pada 30 September lalu.

Operasi kini beralih kepada usaha pencarian dan pemulihan, namun perkembangan itu tidak bermakna usaha Malaysia untuk mengesan serta mengesahkan status 54 rakyatnya telah dihentikan.

Sebaliknya, Malaysia akan meneruskan usaha mendapatkan maklumat menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Beijing, selain kerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan serta saluran rasmi lain.

Kementerian turut mengikuti perkembangan proses perundangan dan pentadbiran yang sedang dibangunkan di Nepal, khususnya berkaitan dokumentasi serta prosedur bagi mangsa bencana yang masih belum dapat dihubungi.

“Kementerian akan terus memaklumkan perkembangan yang telah disahkan bagi setiap kes secara langsung kepada waris terdekat individu yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian menegaskan maklumat peribadi lanjut individu yang telah disahkan selamat tidak akan didedahkan bagi menghormati privasinya.

Orang ramai dan pihak media turut diminta supaya menghormati privasi keluarga terlibat serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung individu yang statusnya masih belum dapat dipastikan.

BBerkaitan

Latest articles