KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, mengingatkan anggota parti bahawa setiap jawatan merupakan amanah yang mempunyai tempoh tertentu dan tidak wajar dilihat sebagai hak milik peribadi.
Beliau berkata, amanah yang diberikan perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, manakala perjuangan parti harus diteruskan tanpa bergantung kepada sesuatu kedudukan.
“Setiap amanah sudah tentu mempunyai waktunya, termasuklah sesuatu jawatan. Ramai bercakap mengenai wadah untuk berkhidmat, namun amanah yang datang bersamanya perlu dipandang serius.
“Namun, ia bukan satu-satunya wadah untuk kita terus berjuang,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026, hari ini.
Ucapan berkenaan menjadi penampilan terakhir beliau sebelum mengambil cuti daripada jawatan Timbalan Presiden PKR bagi melanjutkan pengajian di luar negara.
Nurul Izzah turut menyeru anggota parti supaya kekal istiqamah dalam perjuangan selain terus mengambil berat antara satu sama lain, termasuk aspek kesihatan mental, fizikal dan spiritual.
Mengambil petikan daripada ahli falsafah Rom, Marcus Aurelius, beliau mengingatkan bahawa kedudukan dan jawatan tidak bersifat kekal.
Menurutnya, apabila sesuatu jawatan berakhir, yang akan terus dikenang bukan gelaran atau kedudukan, sebaliknya sumbangan serta nilai yang ditinggalkan sepanjang memegang amanah tersebut.
Dalam pada itu, Nurul Izzah menyifatkan Kongres Nasional Keadilan 2026 sebagai ruang penting untuk anggota parti menilai hasil perjuangan mereka, khususnya ketika PKR menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata, perubahan yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat dilihat antaranya menerusi pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Katanya, pemansuhan itu membuktikan perubahan boleh dilakukan apabila kuasa digunakan untuk memperkukuh kebebasan serta membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk terlibat dalam kegiatan politik.
Beliau turut mengingatkan anggota parti bahawa perjuangan tidak terhenti apabila seseorang tidak lagi memegang jawatan, kerana amanah boleh diteruskan dalam pelbagai bentuk.










