KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan 80 peratus kursus bagi program Ijazah Sarjana Muda di universiti awam diintegrasikan dengan elemen kecerdasan buatan (AI).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu penting bagi memastikan graduan mempunyai kemahiran relevan dengan perubahan teknologi serta keperluan pasaran pekerjaan.
Menurut beliau, AI tidak seharusnya dilihat hanya sebagai bidang pengkhususan kerana penggunaannya kini merangkumi pelbagai bidang dan disiplin.
“AI mesti menjadi nilai tambah, enabler yang baik dalam sistem pendidikan tinggi itu sendiri.
“Maknanya, dari sudut kemahiran sebagai contoh, bagaimana kita nak menambahkan lagi kemahiran, ini merangkumi semua kursus-kursus. Bukan hanya kursus yang bersifat AI sains, tetapi ia termasuk juga dalam kursus-kursus sains sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Shahidan meminta penjelasan mengenai langkah KPT memastikan graduan memiliki kemahiran AI bagi menghadapi perubahan pasaran pekerjaan selain sasaran kementerian memperluas program AI dan peningkatan kemahiran di universiti.
Zambry berkata, KPT turut melaksanakan program intervensi kebolehpasaran graduan bagi menghadapi kemungkinan perubahan peluang pekerjaan susulan perkembangan AI.
Katanya, langkah itu melibatkan penelitian semula terhadap keseluruhan program yang ditawarkan di institusi pendidikan tinggi termasuk politeknik dan kolej komuniti.
“Antara program-program yang kita perlu lakukan ialah untuk mengadakan program intervensi kebolehpasaran graduan.
“Ini sangat penting kerana perubahan yang ada di hadapan kita seperti mana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Arau tadi, maka kemungkinan-kemungkinan ia akan memberi cabaran kepada peluang-peluang pekerjaan seperti mana yang diunjurkan oleh TalentCorp,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry berkata, KPT turut memperkenalkan kursus berkaitan AI di setiap program akademik selain menyediakan program upskilling, pembelajaran berasaskan pekerjaan (work-based learning) dan program stackable.
Menurutnya, pendekatan berkenaan bertujuan memastikan kemahiran AI dapat dibangunkan pada setiap peringkat pengajian sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan selepas menamatkan pengajian.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 455 program pengajian di peringkat diploma hingga Doktor Falsafah (PhD) telah melalui proses semakan pada tahun ini sehingga 30 September.
“Semakan ini mengambil kira perkembangan teknologi, perubahan landskap industri serta keperluan tenaga kerja semasa,” katanya.
Zambry berkata, ketika ini terdapat 11 universiti awam menawarkan program berkaitan AI menerusi 30 program di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD.
Katanya, KPT menjangkakan kira-kira 30,000 graduan dalam bidang berkenaan akan dihasilkan bagi tempoh 2025 hingga 2030.
“Selain itu, KPT turut memperkukuhkan pembangunan bakat AI melalui penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), serta Fakulti Pengkomputeran Cerdas di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP),” katanya.










