KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengambil tindakan undang-undang dan sedang berusaha sedaya upaya untuk memulihkan dana susulan pelaburannya dalam eFishery yang didapati terlibat dalam penipuan terancang serta manipulasi laporan kewangan.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP melalui pihak eFishery telah membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan dan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.
“Pelaburan eFishery ini merupakan satu penipuan terancang (fraud) dan terdapat manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan eFishery,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) yang meminta kerajaan menyatakan tindakan susulan terhadap kerugian pelaburan KWAP dalam eFishery, pihak yang sepatutnya bertanggungjawab serta langkah memperketat proses penilaian, semakan risiko dan kelulusan pelaburan, khususnya pelaburan luar negara.
Menurut Anwar, konsortium pelabur termasuk KWAP turut meneruskan usaha pemulihan dana pelaburan berkenaan.
“Susulan perkembangan tersebut, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil langkah tegas dari segi tindakan undang-undang, pemulihan dana, semakan tatakelola dalaman dan juga pengukuhan kawalan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KWAP telah melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan eFishery.
“Hasil semakan tersebut telah dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian dan perbincangan terperinci.
“Susulan perbincangan tersebut, tindakan susulan telah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus dan prinsip akauntabiliti institusi,” katanya.
Anwar berkata, keputusan pelaburan dalam eFishery sebelum ini telah melalui proses penilaian dan tadbir urus KWAP berdasarkan maklumat yang tersedia ketika itu, termasuk pengesahan penyata kewangan oleh juruaudit antarabangsa bertauliah.
Katanya, konsortium pelabur termasuk KWAP turut melaksanakan usaha wajar bebas bagi memastikan maklumat berkaitan adalah lengkap dan sahih sebelum pertimbangan pelaburan dibuat.
Pelaburan dalam eFishery turut disertai beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa terkemuka termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar yang masing-masing mempunyai proses penilaian, kawalan serta tadbir urus pelaburan bertaraf antarabangsa.
Bagaimanapun, Anwar berkata perkembangan berhubung penipuan dan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan eFishery menyebabkan konsortium pelabur mengambil tindakan lanjut.
Beliau menegaskan KWAP kekal komited mengurus dana persaraan penjawat awam secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti.
“Langkah penambahbaikan telah dilaksanakan yang bertujuan untuk memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan pelaburan akan datang,” katanya.










