Kerajaan Teliti Mekanisme Royalti Tayangan Semula Untuk Pelakon

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti kesesuaian mekanisme bayaran residual atau royalti tayangan semula bagi memastikan pelakon Malaysia terus menerima manfaat ekonomi apabila karya mereka dieksploitasi secara komersial selepas tayangan pertama.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, cadangan berkenaan berpotensi memastikan pelakon menerima bahagian yang munasabah daripada nilai ekonomi karya yang melibatkan persembahan mereka.

Menurutnya, mekanisme itu boleh merangkumi eksploitasi karya melalui siaran ulangan televisyen, platform penstriman serta pasaran antarabangsa.

“Kerajaan mengambil maklum cadangan Ahli Yang Berhormat untuk memperkenalkan mekanisme bayaran residual atau royalti tayangan semula kepada pelakon.

“Mekanisme ini dilihat berpotensi memastikan pelakon terus menerima manfaat ekonomi yang munasabah apabila karya yang melibatkan persembahan mereka terus dieksploitasi secara komersial selepas tayangan pertama,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang meminta kerajaan menyatakan sama ada mekanisme residual payment atau royalti tayangan semula akan diperkenalkan bagi pelakon Malaysia setiap kali karya mereka dieksploitasi secara komersial di televisyen, pawagam, platform penstriman atau pasaran luar negara.

Fahmi berkata, sebagai perbandingan, di Amerika Syarikat bayaran residual tidak diwujudkan secara khusus melalui undang-undang, sebaliknya dirundingkan secara kolektif antara kesatuan pelakon seperti SAG-AFTRA dengan persatuan penerbit.

Katanya, bayaran berkenaan diberikan kepada pelakon yang dilindungi di bawah perjanjian apabila sesebuah filem atau drama dieksploitasi di pasaran selepas tayangan pertama, termasuk melalui televisyen, video dan penstriman.

“Bagi filem, bayaran ini lazimnya dikira sebagai peratusan daripada Distributor’s Gross Receipts (DGR).

“Jumlah tersebut kemudian diagihkan kepada para pelakon berdasarkan tempoh penggambaran dan bayaran asal yang diterima oleh setiap pelakon,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia ketika ini belum mempunyai mekanisme khusus bagi bayaran residual untuk karya audiovisual walaupun Akta Hak Cipta 1987 telah memberikan hak tertentu kepada pelaku.

Menurutnya, imbuhan kepada pelakon lazimnya ditentukan berdasarkan terma dan syarat kontrak yang dipersetujui antara pelakon dengan penerbit atau pemegang hak karya.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan meneliti kesesuaian mekanisme bayaran residual atau perkongsian hasil bagi karya audiovisual.

“Penelitian ini akan mengambil kira tiga aspek utama iaitu perundangan, industri dan pasaran.

“Dari aspek perundangan, penelitian akan melihat sama ada mekanisme tersebut wajar dilaksanakan melalui pindaan undang-undang, garis panduan industri atau kontrak standard,” katanya.

Fahmi berkata, aspek industri pula akan mengambil kira struktur ekosistem industri kreatif serta model perniagaan semasa, manakala aspek pasaran melibatkan amalan platform penstriman dan pengedar antarabangsa.

Dalam penelitian itu, Kementerian melalui FINAS akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Katanya, pandangan pihak berkepentingan termasuk Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFEMA), persatuan pelakon dan persatuan penerbit turut akan diambil kira.

“Pendekatan ini penting supaya sebarang mekanisme yang diperkenalkan bukan sahaja memberikan agihan manfaat ekonomi yang lebih adil kepada pelakon, tetapi pada masa sama tidak menjejaskan daya saing, kebolehlaksanaan komersial dan kemampanan industri kreatif negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles