Najib Tarik Balik Rayuan Permohonan Tahanan Di Rumah

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah bagi kes SRC International.

Menurut laporan Malay Mail, notis penarikan balik itu telah difailkan oleh pasukan guaman beliau, Messrs Shafee & Co pada 3 April lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang alasan didedahkan berhubung tindakan tersebut, selain dinyatakan ia dibuat tanpa kebenaran untuk difailkan semula serta tanpa sebarang perintah kos.

Sebelum ini, pada 22 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan berkenaan selepas mendapati isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut hanya mempertimbangkan cadangan pengampunan penuh serta pengurangan hukuman, tanpa menyentuh soal pelaksanaan tahanan rumah.

Keputusan rasmi yang dibuat hanyalah melibatkan pengurangan tempoh penjara dan denda.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.387 bilion oleh Hakim Mahkamah Tinggi Putrajaya, Collin Lawrence Sequerah selepas disabitkan atas 25 pertuduhan berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Mahkamah mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya antara 2011 hingga 2014.

Bagi setiap pertuduhan salah guna kuasa, Najib dikenakan hukuman penjara 15 tahun, manakala bagi kesalahan pengubahan wang haram, beliau dijatuhi hukuman lima tahun penjara bagi setiap pertuduhan. Kesemua hukuman tersebut bagaimanapun diperintahkan berjalan serentak.

Mahkamah turut mengarahkan beliau membayar jumlah boleh dipulihkan sebanyak RM2.08 bilion.

Selain itu, hukuman penjara 15 tahun berkenaan akan bermula pada 2028, selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International yang telah dikurangkan sebelum ini.

BBerkaitan

Latest articles