Polis Buka Lima Kertas Siasatan Kes Tabung Haji, 127 Individu Sudah Dirakam Keterangan

KUALA LUMPUR: Polis membuka lima kertas siasatan berkaitan isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk perkara yang disentuh dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Isa berkata, seramai 127 individu setakat ini sudah dipanggil bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, polis masih akan mendapatkan keterangan daripada beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan, termasuk saksi dari luar negara.

“Siasatan masih berjalan dan beberapa individu lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan, termasuk saksi dari luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Rusdi berkata, siasatan merangkumi beberapa peruntukan undang-undang, antaranya Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995 dan Akta Syarikat 1965.

Selain itu, polis turut menggunakan peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Beliau menegaskan, JSJK akan menjalankan siasatan secara bebas dan profesional tanpa mengetepikan prinsip ketelusan serta pematuhan terhadap undang-undang.

Katanya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang dikenal pasti melakukan kesalahan jenayah selepas siasatan lengkap dijalankan.

Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian atau menyebarkan dakwaan yang belum disahkan sepanjang siasatan berlangsung.

Orang ramai juga diminta merujuk sumber dan saluran rasmi bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung kes berkenaan bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mengganggu proses siasatan.

BBerkaitan

Latest articles