GEORGE TOWN: Pulau Pinang muncul sebagai negeri pertama di Malaysia yang menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Tempat Inap Persendirian (Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pulau Pinang) 2026, berkuat kuasa 1 Ogos lalu.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, peraturan itu diperkenalkan bagi memastikan operasi tempat inap persendirian (TIP) dikawal selia dengan lebih teratur, selain menangani isu kacau ganggu yang timbul akibat pengoperasian tanpa lesen.
Katanya, kerajaan negeri meluluskan pewartaan undang-undang kecil berkenaan pada 10 Jun lalu dan memberikan tempoh dua bulan kepada pengusaha untuk mengemukakan permohonan lesen.
TIP merujuk kepada penginapan jangka pendek tidak melebihi enam bulan berturut-turut yang ditawarkan dengan bayaran, sama ada diuruskan sendiri pemilik atau melalui platform tertentu.
Menurut H’ng, permintaan terhadap TIP meningkat seiring perkembangan sektor pelancongan kerana ia menawarkan pilihan penginapan yang lebih luas dan berpatutan, khususnya kepada keluarga serta kumpulan pelancong.
Namun, katanya, operasi tanpa kawalan boleh menimbulkan masalah seperti pencemaran bunyi, kesesakan lalu lintas, isu sosial dan peningkatan kos penyelenggaraan hartanah strata.
“Dari 2020 hingga Mac tahun ini, MBPP menerima 364 aduan berkaitan kacau ganggu awam dan keselamatan akibat pengoperasian TIP secara haram, manakala MBSP menerima 24 aduan,” katanya pada sidang media.
Menerusi peraturan baharu itu, semua pengusaha diwajibkan mendapatkan lesen PBT serta mematuhi syarat berkaitan kebersihan, keselamatan, aktiviti larangan dan kawalan kacau ganggu.
PBT turut diberi kuasa melakukan pemeriksaan, menjalankan siasatan, memasuki premis dan menutup premis yang didapati melanggar syarat.
Bagi bayaran, setiap permohonan dikenakan fi pentadbiran RM50, manakala lesen berharga RM1,000 setahun bagi premis sehingga tiga bilik, dengan tambahan RM200 bagi setiap bilik berikutnya. Fi TIP pula ditetapkan RM1,800 setahun bagi setiap unit.
Pengusaha yang melanggar undang-undang kecil itu boleh dikenakan kompaun sehingga RM2,000, penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, operasi TIP tidak dibenarkan di premis kerajaan dan badan berkanun, pusat jagaan kesihatan atau kanak-kanak, asrama pekerja, institusi pendidikan swasta serta kediaman kos rendah, kos sederhana rendah, rumah kawalan harga dan Projek Perumahan Rakyat.
H’ng berkata, kawasan yang dibenarkan untuk operasi TIP akan ditentukan mengikut kawalan MBPP dan MBSP. Di bahagian pulau, zon yang dibenarkan perlu mengambil kira Draf Rancangan Tempatan MBPP 2040 serta Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia George Town.










