N. Sembilan Jadi Bukti, Pemimpin UMNO Bukan ‘Dicucuk Hidung’

KUALA LUMPUR: Pergolakan politik di Negeri Sembilan kini dijadikan contoh jelas bahawa pemimpin UMNO bukan mudah “dicucuk hidung”, sebaliknya tegas mempertahankan prinsip walaupun berdepan risiko kehilangan kuasa.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun membuktikan parti itu tidak tunduk kepada tekanan politik.

Menurut beliau, langkah tersebut mencerminkan pendirian UMNO yang tidak akan berkompromi apabila prinsip dilanggar, walaupun terpaksa mengorbankan kedudukan dalam kerajaan.

“Negeri Sembilan sudah tunjuk, UMNO bukan parti yang boleh ditindik hidung. Kalau berkawan, kita setia sepenuhnya, tetapi bila dikhianati dan garis merah dilanggar, kita tidak teragak-agak tarik sokongan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut melontarkan cabaran terbuka kepada sayap pemuda parti lawan, khususnya DAPSY dan PKR, supaya bertindak lebih berani dengan memecat semua wakil UMNO yang memegang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan.

Tegasnya, UMNO tidak gentar kehilangan jawatan dan tidak pernah “gila kuasa” seperti yang didakwa pihak tertentu.

“Kalau berani, jangan pecat seorang dua sahaja. Pecat semua menteri dan timbalan menteri UMNO. Kita bukan gilakan jawatan, tetapi kalau mahu berdepan, kita lawan habis-habisan,” ujarnya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-80 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Kenyataan itu hadir susulan gesaan beberapa pemimpin parti lawan, termasuk permintaan supaya Datuk Seri Mohamad Hasan disingkirkan daripada Kabinet serta cadangan memecat wakil UMNO dalam kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Akmal menegaskan UMNO lebih rela kehilangan jawatan daripada terus dihina atau dipermainkan oleh rakan sekutu sendiri.

“Kita pegang prinsip. Tidak perlu ‘tebuk atap’. Kalau perlu hilang jawatan atau Exco sekalipun, kita tetap dengan pendirian kita,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles