KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mahasiswa diberikan ruang seluas-luasnya untuk bersuara, termasuk mengkritik kerajaan dan pemimpin, tanpa berdepan tindakan disiplin.
Beliau menegaskan, mahasiswa tidak seharusnya dikenakan tindakan hanya kerana menyuarakan pandangan atau kritikan, termasuk terhadap Perdana Menteri sendiri.
“Kalau ada mahasiswa yang diberikan tindakan disiplin semata-mata kerana suara mereka, kritikan mereka, termasuk kritikan kepada Perdana Menteri, saya rasa mulai esok mereka hendaklah dilepaskan sepenuhnya,” katanya.
Anwar berkata, kebebasan mahasiswa penting bagi mengembalikan fungsi universiti sebagai medan percambahan idea, pemikiran kritis dan perbahasan ilmiah.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan kebebasan itu tetap mempunyai batas apabila melibatkan pelanggaran undang-undang, gangguan ketenteraman awam atau kerosakan harta benda.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 tidak seharusnya digunakan untuk menambah kuasa kerajaan atau menteri.
Sebaliknya, katanya, kerajaan bersedia mengurangkan campur tangan kementerian dan memberi lebih banyak autonomi kepada universiti dalam urusan pentadbiran serta akademik.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 bertemakan Pendidikan Masa Depan Negara dan AUKU di Universiti Malaya, malam ini.










