KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti monetari pentadbiran (AMP) berjumlah RM264,000 terhadap dua entiti perbankan Standard Chartered berikutan kegagalan mematuhi keperluan sekatan kewangan bersasar (TFS).
Menurut BNM dalam satu kenyataan hari ini, hukuman yang dikenakan pada 10 Jun 2026 itu melibatkan penalti sebanyak RM132,000 masing-masing ke atas Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (SCBMB) dan Standard Chartered Saadiq Berhad (SCSB).
Bank pusat itu menjelaskan bahawa ketidakpatuhan tersebut dikesan susulan pemeriksaan penyeliaan di premis bank berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bank gagal mengemas kini pangkalan data sekatan dengan segera selepas Senarai Domestik diterbitkan, yang menyebabkan saringan sekatan dilakukan berdasarkan pangkalan data yang tidak dikemas kini,” kata BNM.
Walau bagaimanapun, tiada entiti yang tersenarai didaftarkan sebagai pelanggan baharu dan bank tersebut tidak menjalankan sebarang transaksi yang melibatkan entiti berkenaan.
Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kelemahan dalam kawalan saringan sekatan serta kegagalan memastikan proses saringan sejajar dengan keperluan kawal selia.
Sebagai institusi pelapor (RI), bank dikehendaki mengemas kini pangkalan data sekatan sebaik sahaja Senarai Domestik diterbitkan dan melaksanakan saringan ke atas pelanggan sedia ada mahupun bakal pelanggan.
Langkah ini penting bagi melindungi sistem kewangan daripada disalahgunakan untuk pembiayaan aktiviti keganasan.
BNM menambah, keputusan mengenakan AMP diambil selepas mempertimbangkan beberapa faktor termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan, kekurangan usaha wajar, rekod pematuhan lalu, serta keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil.
SCBMB dan SCSB telah menjelaskan sepenuhnya bayaran penalti berkenaan pada 15 Jun 2026.
Kedua-dua entiti itu turut mengambil langkah pemulihan bagi memperkukuh kawalan pemantauan dan meningkatkan keberkesanan pengurusan saringan sekatan secara tepat pada masanya.
AMP dikenakan di bawah Seksyen 234(3)(b)(i) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) bagi SCBMB dan Seksyen 245(3)(b)(i) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) bagi SCSB.
BNM menegaskan agar semua institusi pelapor mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam mematuhi keperluan berkaitan TFS, dan tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal memenuhi keperluan undang-undang.










