SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengambil serius isu kesihatan awam berikutan fenomena jerebu merentasi sempadan yang mula menjejaskan sebahagian kawasan di negeri ini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, beberapa kawasan di pesisir Pantai Barat seperti Johan Setia, Banting, Klang hingga ke Shah Alam mencatatkan kualiti udara merudum dan berada pada tahap tidak sihat pagi tadi.
Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang hari ini telah mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Disebabkan keadaan kualiti udara yang tidak sihat, MMKN menetapkan agar semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kes pembakaran terbuka, terutamanya di kawasan perumahan, komersial mahupun perindustrian.
“Selain itu, sekolah-sekolah di seluruh Selangor telah diberikan notis peringatan mengenai langkah awalan yang perlu diambil bagi melindungi para pelajar, khususnya di kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
“Sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak perlu ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah 200,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Mengulas lanjut, Jamaliah memaklumkan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri esok (27 Ogos 2026) bagi memperincikan langkah tambahan mengurangkan kesan jerebu berdasarkan unjuran cuaca serta data terkini.
Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pembakaran terbuka.
“Tindakan tegas akan diambil selaras dengan Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
“Malah, denda tambahan tidak lebih RM5,000 sehari boleh dikenakan bagi kesalahan berterusan selepas satu notis diserahkan,” tegas beliau.
Menurutnya, orang ramai diminta segera membuat laporan sekiranya mengesan aktiviti pembakaran terbuka menerusi Hotline JAS Selangor di talian 1-800-88-2727 atau aplikasi eAduan JAS, atau menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999 / 1-800-88-994.
“Jerebu bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, tetapi boleh mendatangkan kesan kesihatan terutamanya kepada kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung serta pesakit jantung dan penyakit respiratori.
“Golongan ini dinasihatkan supaya mengurangkan pendedahan kepada jerebu dengan berada di dalam bangunan dan mengehadkan aktiviti lasak di luar rumah. Sekiranya perlu berada di luar, penggunaan penutup hidung dan mulut adalah digalakkan.
“Orang ramai juga dinasihatkan minum air secukupnya, menjaga kebersihan diri serta sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan jerebu dan mematuhi nasihat pihak berkuasa.
“Mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti batuk, sesak nafas atau asma hendaklah mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya keadaan bertambah teruk,” katanya.










