Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) menyokong tindakan Tiong King Sing “turun padang”, serta menyeru imigresen menyelesaikan “perkara” didedahkan menteri pelancongan, seni dan budaya itu.
Presidennya, Sri Ganesh Michiel, berkata langkah itu perlu diambil memandangkan industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama ekonomi negara.
“Sebagai seorang menteri, beliau telah dipertanggungjawab untuk memastikan industri pelancongan negara pulih dan tindakan beliau merupakan suatu tindakan positif yang akan memberi suatu gambaran positif serta menaikkan tahap keyakinan pelancong asing berkunjung ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Ganesh berkata, sebagai seorang menteri beliau mempunyai kuasa memastikan segala isu bersangkut di bawah kawalannya diselesaikan, termasuk mengunjungi atau melakukan pemeriksaan mengejut di mana-mana pejabat kerajaan.
Katanya, pihaknya juga menghargai dan berterima kasih di atas usaha Tiong mendengar keluhan serta isu dihadapi oleh pelancong asing di pintu masuk negara, selain usahanya memulihkan industri pelancongan negara.
Semalam, Tiong berkata “peristiwa yang memalukan negara” telah terbongkar, susulan laporan mengenai kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan warga China ditahan di balai ketibaan.
Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang “kronik” di pintu masuk negara.
Dalam pada itu, imigresen meminta orang ramai tidak berspekulasi tentang ‘kekecohan’ membabitkan seorang menteri yang cuba membantu seorang warga China ditahan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarah Ruslin Jusoh berkata pihaknya telah memulakan siasatan ke atas kejadian itu dan berkata ia akan dijalankan secara menyeluruh.
Terdahulu, portal Bebas News melaporkan seorang menteri membuat kecoh apabila masuk ke balai ketibaan untuk membantu seorang warga China yang ditahan daripada masuk ke negara ini.
Menteri itu juga dilaporkan memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen ketika beliau cuba membantu wanita berkenaan.