Muhyiddin Individu Pertama Terima Vaksin COVID-19 Hari Ini

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini, sekaligus memberi isyarat bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Muhyiddin menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11 di Putrajaya.

PKD Putrajaya merupakan antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti bagi program imunisasi terbesar negara itu.

Muhyiddin tiba di pusat kesihatan itu pada kira-kira 2.25 petang dan melalui lima stesen di PPV untuk menjalani proses vaksinasi tersebut.

Stesen pertama untuk saringan gejala dan suhu, diikuti stesen kedua untuk pendaftaran bagi mengesahkan kehadiran untuk suntikan vaksin COVID-19, stesen ketiga bagi proses konsultasi dan persetujuan imunisasi, stesen keempat bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 dan stesen kelima ialah stesen pemerhatian.

Selain Muhyiddin, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu Dr Tan Yee Ling, Sheilla Mellissa Sikin, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Clement a/l Marai Francis merupakan penerima terawal vaksin berkenaan.

Muhyiddin juga mengambil janji temu bagi pengambilan dos kedua.

Untuk rekod vaksin Pfizer-BioNTech perlu disuntik dua kali, dengan suntikan kedua pada hari ke-21 selepas suntikan pertama.

Turut berada di PPV itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Selepas menerima suntikan, Muhyiddin melancarkan pendaftaran program vaksinasi menerusi MySejahtera yang akan memudah cara proses pendaftaran bagi menerima vaksin.

BBerkaitan

Latest articles