KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa UMNO menggunakan naratif ‘penyatuan ummah’ dan ‘penyatuan Melayu’ sebagai sandiwara untuk meraih kuasa, susulan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut bekas perdana menteri itu, sentimen berkenaan hanya bertujuan mengaburi mata orang Melayu dan rakyat, sambil menegaskan Bersatu tidak terlibat dalam apa yang disifatkannya sebagai permainan politik sedemikian.
“Percayalah, ini hanyalah sandiwara untuk mengaburi mata orang Melayu dan rakyat demi mendapatkan kuasa. Bersatu bebas daripada semua sandiwara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Muhyiddin turut mendakwa Bersatu kini menjadi satu-satunya parti pembangkang di Parlimen selepas kerjasama politik antara PN dan BN menyebabkan gabungan pembangkang itu, menurutnya, secara tidak langsung menyokong parti kerajaan.
Beliau berkata, kedudukan itu meletakkan Bersatu berdepan cabaran lebih besar, namun parti berkenaan perlu terus kekal sebagai suara pembangkang.
“Bagi saya isunya bukan mampu bertahan, tetapi mesti bertahan,” katanya.
Dalam masa sama, Muhyiddin mendakwa walaupun BN menyatakan hasrat untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH), kedua-dua gabungan itu tidak boleh melepaskan tanggungjawab terhadap pelbagai isu yang membebankan rakyat.
Menurutnya, BN dan PH perlu bertanggungjawab secara bersama terhadap kenaikan harga bahan api, peningkatan kos sara hidup serta kegagalan melaksanakan reformasi institusi.
Beliau turut menggesa UMNO supaya tidak menuding jari kepada pihak lain ketika parti itu sendiri berada dalam kerajaan.
Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan kerjasama PN dan BN pada PRN Negeri Sembilan sebagai hubungan yang “lebih daripada berkahwin”, dengan kedua-dua gabungan bersetuju saling membantu sepanjang tempoh berkempen.
Bagaimanapun, Hadi menjelaskan sebarang kerjasama rasmi antara PN dan BN akan dimuktamadkan serta dinilai dari semasa ke semasa.










