Muhyiddin Dakwa Serbuan Ke Pejabat Peguam Wakilinya Salah Guna Kuasa

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan pentas terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai malam tadi untuk mengecam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dakwa bekas Perdana Menteri itu, serbuan agensi berkenaan ke firma guaman yang mewakilinya adalah satu bentuk salah guna kuasa.

Muhyiddin turut mempersoalkan tujuan SPRM menyerbu pejabat peguam berkenaan yang membelanya dalam beberapa kes dihadapinya di mahkamah.

“Ini salah guna kuasa sedangkan dia peguam yang pertahankan diri saya. Untuk tujuan apa SPRM pergi sana (buat serbuan).

“Ini seolah-olah ada gambaran sesuatu nak dilakukan. Ini salah guna kuasa pihak tertentu.

“Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) cukuplah. Jangan teruskan kezaliman dibuat. Berikan tumpuan menyelamatkan ekonomi negara dan beri bantuan supaya rakyat terbela.

“Kemenangan di Pelangai adalah isyarat cukup penting (kepada kerajaan). Saya percaya (boleh menang), ramai datang tunjuk sokongan padu,” katanya ketika di ceramah mega PRK Pelangai di Dataran Purnama, Bentong, malam tadi.

Semalam, SPRM dilaporkan menyerbu sebuah firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership, berkaitan kes yang sedang dihadapi Ahli Parlimen Pagoh itu.

BBerkaitan

Latest articles