Misi SAR Tanah Runtuh Sukar, Lokasi Sebenar Sembilan Mangsa Masih Gagal Dikesan

BATANG KALI: Memasuki hari ke-lima, hari ini misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong yang masih hilang diteruskan dengan menumpukan di Sektor C sehingga ke atas (hill side).

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata misi SAR menghadapi kesukaran ekoran kedudukan sebenar sembilan mangsa itu masih gagal dikesan.

Hafisham memaklumkan, anggota pasukan penyelamat kini melakukan pencarian berdasarkan timbunan tanah dan kenyataan daripada saksi.

“Kita tidak tahu di mana kedudukan sebenar mangsa tertimbus. Ini antara cabaran besar yang dihadapi anggota pasukan SAR, selain keadaan tanah di lokasi pencarian yang lembik.

“Hari ini kita tidak lagi menggunakan dua peranti canggih, Ground Penetrating Radar (GPR) dan hanya menggunakan anggota SAR di lapangan, Unit Anjing Pengesan (K9) serta jentera pengaut,” katanya dalam sidang media di lokasi hari ini.

Semalam, pasukan SAR mengesan lima lokasi dipercayai mengandungi bendasing berhampiran lokasi runtuhan selepas pengesanan dijalankan menggunakan Ground Penetrating Radar (GPR).

Namun, Hafisham berkata, operasi SAR dijalankan membabitkan sektor C ke sektor A berdasarkan penandaan yang dijalankan itu, gagal menemui mangsa.

Terdahulu, JBPM menggerakkan pasukan ‘sweeper’ untuk melakukan pencarian mangsa yang masih hilang di luar tapak kejadian utama tanah runtuh itu semalam.

Hafisham dilaporkan berkata, dua pasukan terdiri 28 anggota bomba dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan dengan tumpuan pencarian di sekitar sungai dan lokasi sekitarnya.

“Anggota pasukan ‘sweeper’ pergi ke kawasan ‘ground zero’ kiri dan kanan sehinggalah ke sungai terdekat iaitu Sungai Kendondong dengan jarak lebih kurang tiga hingga empat kilometer.

“Pencarian bermula semalam disambung hari ini dan setakat ini tiada tanda-tanda (mangsa). Tunggu sehingga petang ini apa hasilnya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles