Mindef Arah Semua Latihan Guna Bom Tangan Digantung

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan mengarahkan Tentera Darat Malaysia (TDM) mempercepatkan siasatan berhubung insiden letupan bom tangan ketika latihan di Kem Hobart, Gurun, Kedah yang meragut nyawa dua anggota tentera, Selasa lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua aktiviti latihan yang melibatkan penggunaan bom tangan turut dihentikan serta-merta sebagai langkah berjaga-jaga sehingga laporan lengkap siasatan dikemukakan.

Menurut beliau, pihak kementerian tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai punca kejadian sebelum siasatan menyeluruh dijalankan, namun menegaskan setiap latihan menggunakan bom tangan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya, berdasarkan SOP yang ditetapkan, bom tangan perlu dibaling dalam tempoh tujuh saat selepas pinnya dicabut bagi mengelakkan sebarang risiko kepada anggota yang mengendalikannya.

“Mungkin berlaku kesilapan pada mana-mana peringkat, tetapi perkara itu perlu disahkan melalui siasatan. Saya tidak mahu membuat sebarang andaian sama ada ia berpunca daripada faktor tertentu atau sebaliknya.

“Apa yang penting, siasatan mesti disegerakan dan laporan lengkap perlu diserahkan kepada saya secepat mungkin supaya tindakan lanjut dapat dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Pengisian Minyak Percuma Untuk Motosikal di stesen minyak BH Petrol, Felda Air Tawar, dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan dua anggota tentera iaitu Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, dan Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, terkorban dalam satu kejadian letupan bom tangan semasa menjalani latihan grenad di Kem Hobart.

BBerkaitan

Latest articles