KUALA LUMPUR: Khabar bertebaran mengatakan bahawa rakan komponen Barisan Nasional (BN), MIC akan menarik diri daripada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil, berkata beliau “tidak tahu” ketika ditanya berhubung perkara itu.
“Saya tidak tahu. Saya rasa mereka masih menyelesaikan pembahagian kerusi.
“Mereka kawan lama, jadi saya rasa kita kekal bersama untuk PRU15,” katanya memetik laporan FMT.
BN pada malam tadi mengumumkan calon akan bertanding pada PRU15, namun pemimpin MIC termasuk presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran tidak kelihatan dalam majlis tersebut.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Vigneswaran sebagai calon bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput.
Terdahulu, FMT melaporkan bahawa pemimpin MIC akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan sama ada parti itu bertanding pada PRU15.
Vigneswaran berkata mesyuarat tergempar itu akan membuat keputusan sama ada MIC terima atau tolak kerusi ditawarkan kepada mereka, atau tidak bertanding PRU15.
“Itu bukan satu isu besar kerana hari penamaan calon adalah pada 5 Nov. Seperti (BN Sabah), mereka memutuskan untuk mengumumkan calon dalam masa beberapa hari lagi.
“Jadi saya rasa tiada masalah MIC melakukan perkara sama,” katanya.
Hishammuddin berkata, beliau tidak akan melayan khabar angin bahawa MIC akan menarik diri daripada BN.