KUALA LUMPUR: Seorang pendakwah bebas yang juga terkenal sebagai pempengaruh agama dijangka berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban esok, berkaitan dakwaan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah hampir RM13 juta.
Beliau yang berusia 30-an merupakan pengerusi NGO berkenaan, manakala isterinya memegang jawatan sebagai setiausaha pertubuhan itu.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kedua-duanya akan hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban pada jam 9 pagi bagi menghadapi pertuduhan.
“Dia dan isterinya akan dituduh esok berhubung satu kes yang dibuka SPRM beberapa bulan lalu,” kata sumber itu ketika dihubungi.
Kes berkenaan sebelum ini mendapat perhatian selepas pendakwah terbabit, yang mempunyai pengaruh besar di media sosial khususnya TikTok, ditahan SPRM Negeri Sembilan bagi membantu siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan dana NGO.
Siasatan awal dipercayai tertumpu kepada tindakan memindahkan sejumlah wang milik NGO itu ke akaun bank milik pendakwah berkenaan serta lapan akaun syarikat yang mempunyai kaitan dengannya.
SPRM turut meneliti keseluruhan pergerakan dana berkenaan bagi mengesan kemungkinan berlaku penyalahgunaan kedudukan serta kelemahan atau penyelewengan dalam pengurusan kewangan pertubuhan terbabit.










