PN Dakwa Dapatan Lama Dimanipulasi, Gesa Tubuh Semula RCI Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menubuhkan semula Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pengurusan dan kedudukan Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2018 hingga kini.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata langkah itu penting bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kedudukan institusi kewangan Islam berkenaan susulan dakwaan bahawa dapatan RCI terdahulu telah dimanipulasi.

Beliau mendakwa laporan berkenaan kini digunakan untuk membentuk persepsi seolah-olah TH pernah terjerumus dalam skandal kewangan besar, sedangkan terdapat isu fakta dan tafsiran yang perlu diperjelaskan.

Takiyuddin turut mempersoalkan beberapa perkara yang dibangkitkan dalam sesi penggulungan RCI berkaitan TH oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Kita tidak menafikan mungkin ada kesalahan teknikal yang boleh dibaiki tetapi ia tidak (boleh digunakan sebagai) serangan yang menyebabkan dan menggambarkan TH sudah terjumus dalam skandal begitu besar.

“Saya bersetuju dengan cadangan peserta forum supaya RCI mengenai TH ditubuhkan semula untuk menyiasat kedudukan TH dari 2018 hingga kini.

“Justeru, kerajaan digesa wujudkan RCI baharu terhadap pentadbiran dan pengurusan TH, bermula dari tempoh akhir RCI terdahulu hingga kini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum Musyawarah Nasional 2.0 – Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan TH, hari ini.

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam perkembangan sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, turut menyokong cadangan supaya RCI baharu diwujudkan untuk meneliti pengurusan kewangan TH selepas tempoh siasatan RCI terdahulu.

Katanya, siasatan baharu perlu dilakukan bagi menentukan sama ada wujud unsur penyelewengan atau penjualan aset TH kepada pihak berkepentingan.

Beliau menegaskan kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menyiasat sebarang dakwaan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab.

“Kita juga perlu tahu mengenai status aset TH yang dipindah milik dan bagaimana ia menjana keuntungan serta kenapa ia tidak dipulangkan semula ke TH,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles