SHAH ALAM: Aman Palestin berharap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan pelucuthakan wang berjumlah RM21 juta dan AS$139,650.68 serta jongkong emas miliknya dapat membuka ruang untuk pertubuhan itu memulihkan semula keyakinan dan persepsi positif masyarakat.
Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan mahkamah selepas melalui proses perundangan bagi membersihkan nama pertubuhan berkenaan.
Menurutnya, Aman Palestin sejak awal memilih untuk mempertahankan reputasi serta kedudukannya menerusi saluran undang-undang.
“Saya berharap dengan keputusan yang diterima ini dapat mengembalikan persepsi positif daripada masyarakat terhadap Aman Palestin.
“Saya berasa terharu kerana harapan untuk meneruskan legasi perjuangan membantu rakyat Palestin dapat diteruskan dengan sokongan yang tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia, apatah lagi dalam keadaan sukar yang berlaku pada hari ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Abdullah turut menyeru masyarakat menilai semula rekod usaha dan pembangunan yang dilaksanakan Aman Palestin sepanjang 22 tahun lalu.
Pada masa sama, beliau berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, manakala Aman Palestin memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.
Beliau bagaimanapun berharap keputusan mahkamah itu tidak dimanipulasi mana-mana pihak untuk terus menyebarkan dakwaan atau persepsi negatif terhadap pertubuhan berkenaan.
“Saya berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan melontarkan persepsi negatif untuk memutarbelitkan cerita.
“Saya juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sentiasa menyokong serta mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang RM21 juta dan AS$139,650.68 yang disimpan dalam 12 akaun bank milik Aman Palestin, selain sebuah jongkong emas seberat satu kilogram.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dalam penghakimannya mendapati pihak pemohon gagal membuktikan wang dalam akaun berkenaan serta pembelian jongkong emas itu mempunyai kaitan dengan perlakuan salah di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Mahkamah turut mendapati aset berkenaan tidak dapat dikaitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 403 dan 420 Kanun Keseksaan.
Permohonan pelucuthakan terhadap 12 akaun bank itu sebelum ini difailkan pihak pendakwaan pada 15 November 2024 mengikut Subseksyen 56(1) AMLATFPUAA.
Susulan keputusan tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memohon supaya pelaksanaan perintah mahkamah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.
Dalam perkembangan sama, Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam bela yang diketuai Datuk Zamani Ibrahim, Datuk Hisyam Teh Pok Teik dan Datuk M Athimulan atas usaha mereka sepanjang prosiding kes berkenaan.










