IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan pemimpin serta badan dan gerakan yang membawa nama Islam supaya mengurangkan persengketaan serta tidak terlalu mengutamakan politik.
Sebaliknya, titah baginda, tenaga dan perhatian perlu disalurkan kepada usaha yang mampu memperkukuh identiti serta martabat ummah.
Antara bidang yang wajar diperkasakan termasuk pendidikan Islam, ekonomi dan kewangan Islam, industri halal, wakaf, dakwah digital serta pengukuhan institusi keluarga.
Baginda bertitah, jati diri Muslim dan identiti ummah kini berdepan cabaran pengaruh global yang semakin kompleks, justeru pendekatan bijaksana perlu diambil supaya kemodenan tidak menghakis prinsip dan identiti umat Islam.
“Kesatuan ummah semakin menghadapi cabaran besar. Perbezaan politik, mazhab, bangsa dan kepentingan, selain tarikan kepada pengaruh, pangkat, jawatan, harta dan kemewahan dunia, semakin mengatasi semangat persaudaraan sehingga konsep ukhuwah semakin dipinggirkan,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW 1448H peringkat Perak, hari ini.
Baginda turut menyifatkan usaha individu dan kumpulan yang memilih untuk menggerakkan agenda positif ketika pemimpin serta kelompok politik bersaing dan bersengketa sebagai sesuatu yang wajar dihargai.
“Jati diri Muslim tidak terbina dalam sehari, tetapi bermula daripada akidah yang teguh, dibentuk dengan ilmu, dihiasi dengan akhlak dan dibuktikan melalui amal,” titah baginda.
Sambutan Maulidur Rasul kali ini mengangkat tema ‘Membina Jati Diri Muslim – Memperkukuh Identiti Ummah’, yang menurut baginda mengajak umat Islam meneladani kemuliaan akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW.
Sultan Nazrin menegaskan, jati diri tidak seharusnya diukur melalui pakaian, slogan atau penampilan semata-mata, sebaliknya terserlah melalui prinsip yang teguh, iman yang tidak mudah digugat dan akhlak yang tidak berubah mengikut kepentingan.
Baginda berkata Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam soal kepimpinan dan jati diri apabila tegas mempertahankan prinsip, santun dalam tindakan serta berani menghadapi musuh, namun tetap berihsan terhadap golongan lemah.
“Baginda memiliki kedudukan tinggi sebagai pemimpin tetapi menjalani kehidupan yang sederhana dengan penuh tawaduk.
“Kekuatan Rasulullah SAW terletak pada peribadi dan prinsip baginda, bukan pada retorik atau slogan,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut menggariskan sifat Rasulullah SAW yang perlu dijadikan pedoman, antaranya bercakap dengan benar dan sopan, berlemah lembut dalam pergaulan, ikhlas, terbuka terhadap perbezaan pandangan, pemurah serta mengutamakan persaudaraan berbanding persengketaan.
Baginda turut menekankan nilai integriti dan amanah dalam kehidupan, dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan yang sabar ketika dihina, tidak berdendam ketika berjawatan, adil ketika berkuasa dan amanah apabila diberikan tanggungjawab.
Menurut baginda, ketakwaan kepada Allah SWT turut menjadi benteng daripada penyelewengan, pecah amanah, salah guna kuasa dan penindasan.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.










