EXCO Kelantan Bermesyuarat Dalam ECRL, Empat Jam Menuju Gombak

KOTA BHARU: Bukan di pejabat seperti kebiasaan, sebaliknya Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bersama barisan EXCO negeri mengadakan mesyuarat kerajaan negeri di dalam gerabak Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Mesyuarat itu berlangsung ketika mereka menyertai perjalanan praoperasi ECRL dari Kota Bharu, Kelantan menuju Gombak, Selangor hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata, pengalaman berbeza itu memberi peluang kepada beliau dan barisan EXCO meneruskan urusan pentadbiran negeri dalam suasana baharu, tanpa mengabaikan agenda pembangunan serta kepentingan rakyat.

Menurutnya, perjalanan berkenaan turut memberi ruang kepada mereka melihat sendiri perkembangan projek ECRL yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh hubungan pengangkutan antara negeri.

Beliau berkongsi pengalaman itu menerusi hantaran di Facebook, sambil menyifatkan ECRL sebagai kemudahan yang bakal membuka lebih banyak peluang dan membawa manfaat kepada rakyat Kelantan.

Lawatan berkenaan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Sementara itu, EXCO Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, perjalanan selama kira-kira empat jam itu berjalan lancar.

Beliau berharap pembukaan perkhidmatan ECRL yang dijadualkan awal Disember ini dapat merancakkan ekonomi negeri, selain memudahkan perjalanan rakyat yang pulang ke Kelantan serta urusan perhubungan dengan negeri lain.

BBerkaitan

Latest articles