Mengaji Pandai, Tapi Hutang Bila Nak Bayar? – Mahfuz Soal Sanusi

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Kedah, Datuk Mahfuz Omar mempersoal Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bilakah mahu melunaskan hutang beliau sebanyak RM10,000.

Jelas beliau, Menteri Besar Kedah itu masih berhutang kepadanya dalam bentuk kos guaman ketika kalah kes saman sebelum ini.

“Saya tunggu dia telefon nak belanja mi abu dan saya juga mahu minta hutang RM10,000.

“RM10,000 dia tak bayar lagi, saya hairan dia mengaji (belajar) pandai tetapi dia tidak tahu kira berapa sebenarnya (jumlah keseluruhan) diumumkan Hakim Mahkamah Persekutuan.

“RM10,000 itu kos mahkamah Rayuan yang dimaklumkan peguam saya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat UMNO, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mengulas lanjut, calon Pakatan Harapan DUN Alor Mengkudu itu berkata, beliau meminta hutang tersebut dilunaskan segera kerana Sanusi kini berdepan saman RM200 juta oleh taikun Tan Sri Vincent Tan.

“Saya biar lama dan saya harap dia bayar takut saman RM200 juta tak dapat bayar jadi minta dia bayar RM10,000 saya dahulu,” kata Mahfuz.

Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama mengaitkan beliau dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.

Pada 3 April lalu, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah kes itu, selain Mahfuz memohon untuk menaikkan saman terbabit daripada RM50,000 kepada RM120,000 selain perlu membuat permohonan maaf.

Panel hakim sama menolak rayuan Muhammad Sanusi untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 November 2021 yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Mahfuz selepas membenarkan saman fitnah Mahfuz.

BBerkaitan

Latest articles