KUALA LUMPUR: Perbezaan tahap kelayakan akademik dan penguasaan digital pelajar antara cabaran utama pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz di negara ini.
Selain itu, kesukaran menyelaraskan jadual latihan teknikal dengan komitmen hafazan serta pengajian agama turut menjadi kekangan dalam memperluas program berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keterbatasan kemudahan latihan dan tenaga pengajar bertauliah, khususnya di kawasan luar bandar, juga dikenal pasti sebagai antara isu yang perlu ditangani.
“Antara isu utama yang dikenal pasti ialah perbezaan tahap kelayakan akademik dan penguasaan digital pelajar, kesukaran menyelaraskan jadual latihan teknikal dengan komitmen hafazan dan pengajian agama, keterbatasan kemudahan latihan serta tenaga pengajar bertauliah, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis pada Rabu bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) yang meminta kerajaan menyatakan perkembangan dan cabaran pelaksanaan TVET Tahfiz ketika ini.
Mengulas langkah mengatasi kekangan itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan memperkukuh penyelarasan antara kementerian, institusi tahfiz, agensi pensijilan dan pihak industri.
Katanya, usaha itu akan dilaksanakan menerusi peluasan latihan fleksibel, kursus modular, program persediaan akademik serta pengoptimuman kemudahan latihan sedia ada.
“Usaha ini turut memberikan penekanan kepada pemantapan laluan pensijilan dan kerjasama industri bagi memastikan latihan yang ditawarkan relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai 2,364 pelajar tahfiz mendaftar dalam pelbagai program latihan kemahiran di institusi TVET bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Daripada jumlah itu, seramai 900 pelajar memperoleh pensijilan kemahiran berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), merangkumi 609 orang pada Tahap 3, 285 orang pada Tahap 4 dan enam orang pada Tahap 5.
Beliau berkata, pelaksanaan TVET Tahfiz turut diperluas menerusi beberapa institusi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Melalui KKDW, seramai 1,165 pelajar tahfiz mengikuti pelbagai program TVET, manakala 1,216 pelajar mengikuti program berkenaan di Kolej Komuniti sehingga Oktober 2026.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan komited memperluas pelaksanaan TVET Tahfiz secara bersepadu bagi melahirkan generasi huffaz profesional yang seimbang dari segi penguasaan ilmu agama, kemahiran teknikal dan kebolehpasaran.










