LCS1 Hingga LCS5 Diserah Berperingkat Mulai April 2027

KUALA LUMPUR: Lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijadual diserahkan secara berperingkat mulai April 2027 hingga April 2029, dengan kapal pertama, LCS1 atau KD Maharaja Lela, dijangka diterima pada April tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembinaan keseluruhan lima kapal berkenaan mencapai kemajuan fizikal 80.72 peratus setakat 25 September 2026, berbanding sasaran 89.91 peratus.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan projek berkenaan masih mengalami kelewatan sebanyak 9.19 peratus berbanding jadual ditetapkan.

Menurutnya, LCS1 atau KD Maharaja Lela kini berada dalam fasa ujian laut di peringkat limbungan (Sea Trial) selepas selesai beberapa ujian penerimaan di limbungan (Harbour Acceptance Trial).

“Fasa ini bertujuan menguji serta mengesahkan prestasi dan keupayaan sistem kapal sebelum Ujian Penerimaan di Laut (Sea Acceptance Trial – SAT) dilaksanakan bersama TLDM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis pada Rabu bagi menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai status semasa dan jadual penyerahan lima kapal LCS kepada TLDM.

Mengikut jadual penyerahan terkini yang dijamin kontraktor, Lumut Naval Shipyard (LUNAS), LCS1 dijadual diserahkan pada April 2027, diikuti LCS2 pada Ogos 2027 dan LCS3 pada Disember tahun sama.

LCS4 pula dijadual diserahkan pada Ogos 2028, manakala LCS5 pada April 2029.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan kini berada di peringkat akhir meneliti tiga opsyen sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) bagi menggantikan Naval Strike Missile (NSM) susulan pembatalan permit eksport oleh kerajaan Norway.

Katanya, pemilihan sistem berkenaan akan mengambil kira keperluan operasi, kesesuaian integrasi dengan kapal, kos serta tempoh perolehan.

“Keputusan muktamad akan dibuat setelah opsyen dipersetujui dan perjanjian perolehan dimeterai,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles