Lebih 33,000 Unit Rumah Siap Dibina Masih Tidak Terjual Setakat Jun 2026

KUALA LUMPUR: Sebanyak 33,094 unit rumah siap dibina tetapi masih belum terjual direkodkan di seluruh negara pada suku kedua 2026, meningkat 293 unit berbanding 32,801 unit pada suku pertama tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, jumlah rumah tidak terjual itu melibatkan nilai keseluruhan RM17.8 bilion berbanding RM16.37 bilion pada suku pertama.

Beliau berkata, peningkatan itu bersamaan 0.9 peratus dalam tempoh tiga bulan berkenaan.

“Berdasarkan laporan rasmi yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), bagi suku pertama tahun 2026, jumlah unit rumah siap dibina namun masih belum terjual direkodkan sebanyak 32,801 unit dengan nilai keseluruhan berjumlah RM16.37 bilion.

“Manakala bagi suku kedua tahun 2026, jumlah unit rumah siap dibina namun masih belum terjual direkodkan sebanyak 33,094 unit dengan nilai keseluruhan berjumlah RM17.8 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) yang meminta kementerian menyatakan jumlah unit rumah siap dibina tetapi belum terjual (overhang) bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.

Menurut Nga, isu lambakan rumah siap dibina tetapi tidak terjual secara umumnya berpunca daripada ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran dalam pasaran perumahan.

Katanya, keadaan itu berlaku apabila rumah yang dibina tidak memenuhi keperluan penduduk setempat dari segi kuantiti, kualiti dan harga berbanding pendapatan.

Sehubungan itu, beliau berkata, menerusi Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi penekanan kepada perancangan pembangunan perumahan lebih bersasar dan berasaskan data.

“Pendekatan ini mengambil kira kemampuan pendapatan, keperluan perumahan serta permintaan sebenar mengikut lokaliti,” katanya.

Beliau berkata, KPKT akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan industri bagi memastikan pembangunan perumahan lebih seimbang dengan permintaan pasaran.

Langkah itu bertujuan mengurangkan risiko lambakan rumah tidak terjual, selain meningkatkan akses rakyat kepada kediaman berkualiti, mampu milik dan berdaya huni.

BBerkaitan

Latest articles