Malaysia Sasar Lahir 200,000 Tenaga Mahir AI, Bangunkan Teknologi Sendiri

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 200,000 tenaga mahir kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh keupayaan negara membangunkan teknologi sendiri dan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi asing.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, usaha itu merupakan antara empat bidang utama yang diberi tumpuan menerusi Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 (Negara AI 2030).

Menurutnya, strategi berkenaan turut merangkumi pembangunan teknologi dan model AI tempatan, ekosistem data berkualiti serta pengukuhan infrastruktur AI negara.

“Kerajaan telah merangka strategi komprehensif menerusi Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 (Negara AI 2030) dengan memperkukuh keupayaan tempatan dan membangunkan penyelesaian AI Buatan Malaysia (Made by Malaysia AI),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang meminta Menteri Digital menyatakan strategi kerajaan membangunkan kedaulatan teknologi dan AI supaya Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi asing, sebaliknya mampu membangunkan teknologi, data dan bakat AI sendiri.

Gobind berkata, kedaulatan AI merujuk kepada keupayaan negara mengawal pembangunan, penggunaan dan tadbir urus teknologi itu berdasarkan kepentingan negara, selain mengurus kebergantungan terhadap teknologi luar.

Katanya, pendekatan berkenaan penting bagi melindungi data, keselamatan dan kepentingan rakyat, di samping memastikan Malaysia terus memanfaatkan kerjasama serta kemajuan teknologi global.

Dalam aspek infrastruktur, beliau berkata, kerajaan sedang membangunkan Awan AI Berdaulat (Sovereign AI Cloud) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Selain itu, Jabatan Digital Negara (JDN) turut menyediakan platform AI as a Service (AIaaS) bagi menyokong penggunaan teknologi berkenaan dalam sektor awam.

“Setakat ini, sebanyak 117 agensi telah memohon untuk menggunakan AI Sandbox bagi menguji dan membangunkan penyelesaian AI,” katanya.

Menurutnya, usaha itu juga bertujuan memastikan data kerajaan diurus dengan selamat serta mengurangkan risiko kebocoran data sensitif.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan ekosistem data yang lebih tersusun, berkualiti dan mudah dimanfaatkan, termasuk penyediaan set data keutamaan yang mencerminkan bahasa, budaya serta konteks tempatan.

Dalam masa sama, pembangunan dan penyesuaian model, aplikasi serta penyelesaian AI tempatan akan diperkukuh bagi memenuhi keperluan negara, sekali gus menggalakkan inovasi dan penyertaan industri dalam rantaian nilai AI.

Usaha pembangunan bakat pula dilaksanakan menerusi program latihan, peningkatan kemahiran dan kerjasama dengan industri serta institusi pendidikan bagi memenuhi permintaan tenaga mahir dalam bidang berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles