MCMC Terima 29 Aduan Sepanjang PRN Johor, Berita Palsu Paling Banyak Dilaporkan

KULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 29 aduan berkaitan penyebaran berita palsu, ucapan kebencian serta penipuan dalam talian sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bermula 1 Jun hingga 9 Julai lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata daripada jumlah itu, 17 aduan membabitkan penyebaran berita palsu, diikuti 11 aduan berkaitan ucapan kebencian dan satu kes penipuan dalam talian.

Menurut beliau, majoriti aduan melibatkan ucapan kebencian berkisar isu perkauman dengan sembilan kes direkodkan, manakala masing-masing satu aduan menyentuh isu agama serta institusi diraja.

Katanya, MCMC telah mengambil tindakan dengan meminta platform media sosial berkaitan mengendalikan kandungan yang dilaporkan supaya tidak terus tersebar kepada orang ramai.

“Dalam tempoh 1 Jun hingga 9 Julai 2026, MCMC menerima 29 aduan berkaitan berita palsu, ucapan kebencian dan penipuan termasuk sepanjang kempen PRN Johor. Kami sudah meminta platform berkaitan mengambil tindakan terhadap kandungan yang dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar, hari ini.

Teo, yang juga Pengerusi DAP Johor, tiba di pusat mengundi kira-kira jam 9.20 pagi, selesai mengundi sekitar 10 minit kemudian sebelum meninggalkan lokasi pada jam 9.45 pagi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai maklumat yang diterima di media sosial, khususnya kandungan yang belum disahkan kesahihannya atau berunsur kebencian.

Beliau turut menyeru pengundi Johor supaya menyemak setiap maklumat sebelum berkongsi atau mempercayainya, selain mengamalkan sikap celik digital ketika membuat keputusan pada hari pengundian.

“Hari ini adalah hari rakyat Johor membuat pilihan. Saya menyeru semua pengundi supaya membuat semakan terhadap setiap maklumat yang diterima serta jangan mudah terpengaruh dengan berita palsu atau kenyataan berunsur kebencian. Jadilah pengundi yang celik digital dan bijaksana,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles