JOHOR BAHRU: Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas kepercayaan melantiknya semula sebagai Menteri Besar Johor.
Menerusi hantaran di Facebook pada Ahad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata, beliau akan memikul amanah berkenaan dengan penuh taat setia demi memastikan kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor terus menjadi keutamaan.
“Saya sedar setiap keputusan yang dibuat akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan Bangsa Johor. Saya berdoa agar ALLAH SWT terus membimbing setiap langkah, mengurniakan kebijaksanaan serta menetapkan hati saya untuk sentiasa berlaku adil, amanah dan ikhlas,” katanya.
Onn Hafiz yang mengangkat sumpah jawatan pada Ahad turut memaklumkan Kerajaan Negeri mengisytiharkan Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa Johor.
Menurutnya, pengisytiharan itu dibuat atas limpah perkenan Pemangku Sultan Johor sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Beliau turut memohon doa rakyat Johor agar dikurniakan kekuatan dan petunjuk dalam melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan, integriti dan tanggungjawab.










