KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa gerakan untuk menyingkirkannya daripada jawatan Presiden BERSATU didalangi Datuk Seri Hamzah Zainudin, sekali gus menjadi punca utama perpecahan dalaman parti sehingga membawa kepada penubuhan Parti Wawasan Negara (WAWASAN).
Menurut Muhyiddin, usaha menjatuhkannya bermula selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri apabila terdapat pihak dalam parti yang cuba menyingkirkannya bukan sahaja sebagai Presiden BERSATU, malah sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, situasi itu mendorongnya menyatakan hasrat untuk berundur pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU 2023, namun cadangan tersebut ditolak sebulat suara oleh perwakilan.
“Bagi menghormati keputusan ahli, saya bersetuju meneruskan khidmat untuk satu penggal lagi dan penggal ini adalah yang terakhir,” katanya dalam satu wawancara bersama Berita Harian.
Mengulas hubungan dengan Hamzah, Muhyiddin berkata beliau sendiri diberi mandat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk merancang pelan penggantian kepimpinan parti dan memilih Hamzah sebagai Timbalan Presiden bagi memastikan kesinambungan BERSATU.
Katanya, keputusan itu membolehkan Hamzah menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden, namun beliau mendakwa keadaan berubah selepas pemilihan apabila Hamzah didakwa bertindak bertentangan dengan disiplin parti.
“Saya percaya wujud gerakan dalam kalangan ketua bahagian yang didalangi beliau untuk mendesak saya meletakkan jawatan. Mungkin mereka beranggapan jika saya berundur, Hamzah akan menjadi Pemangku Presiden,” katanya.
Muhyiddin turut mendakwa strategi itu merupakan sebahagian daripada “grand design” yang dirancang lebih awal, dengan Hamzah mendapatkan sokongannya untuk menang tanpa bertanding sebelum menggerakkan usaha menjatuhkannya.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak beretika dan berkata hasratnya melahirkan pelan peralihan kepimpinan secara teratur akhirnya gagal, sekali gus menyebabkan BERSATU berpecah sehingga tindakan disiplin terpaksa diambil.
Mengulas pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin parti, Muhyiddin menegaskan keputusan itu bukan pilihan pertamanya, sebaliknya langkah terakhir bagi memulihkan kestabilan BERSATU.
Katanya, beliau sebelum ini cuba menyelesaikan konflik secara damai dan mengelakkan tindakan disiplin, namun pelanggaran disiplin yang berlaku secara terbuka serta gerakan memecah-belahkan parti menyebabkan tindakan tegas tidak dapat dielakkan.
“Saya sedar ada risiko, tetapi parti perlu distabilkan dan dibina semula,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menegaskan BERSATU kekal sebagai anggota sah PN meskipun PAS memutuskan hubungan dengan parti itu.
Beliau berpandangan, berdasarkan amalan politik sebelum ini, parti yang memilih untuk memutuskan hubungan dengan rakan gabungan sepatutnya keluar daripada gabungan, bukannya memaksa parti lain berbuat demikian.
Muhyiddin turut mendakwa PAS masih mahu kekal bersama PN kerana melihat gabungan yang diasaskannya itu mempunyai nilai politik, sambil mendakwa parti itu kini cuba mendesak BERSATU keluar, termasuk dengan menafikan hak BERSATU menggunakan logo PN dalam pilihan raya.










