KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan PAS sepatutnya menjadi pihak yang meninggalkan Perikatan Nasional (PN) selepas parti itu memutuskan hubungan politik dengan BERSATU, bukannya mendesak BERSATU keluar daripada gabungan berkenaan.
Beliau berkata, BERSATU yang merupakan antara pengasas PN kekal sebagai anggota sah gabungan itu dan mempunyai hak untuk terus berada dalam PN selagi parti berkenaan tidak membuat keputusan untuk keluar.
Menurutnya, amalan politik sebelum ini menunjukkan mana-mana parti yang memutuskan hubungan dengan rakan gabungan sewajarnya meninggalkan gabungan tersebut, bukannya memaksa parti lain berbuat demikian.
“Sepatutnya kalau kita tidak puas hati dengan kawan dalam satu rumah, kitalah keluar. Bukan kita paksa kawan kita keluar. Ini tidak masuk akal.
“Mungkin PAS memikirkan PN yang saya asaskan ini ada nilai, sebab itu mereka mahu terus bergayut kepada PN, tetapi dalam masa sama cuba memaksa BERSATU keluar,” katanya dalam temu bual bersama Berita Harian.
Muhyiddin berkata, BERSATU boleh meninggalkan PN pada bila-bila masa sekiranya parti itu sendiri membuat keputusan sedemikian, namun perkara itu tidak pernah diputuskan.
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU awal bulan lalu, walaupun kedua-dua parti masih kekal sebagai komponen PN.
Selepas itu, PN yang kini dipengerusikan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menerima dua parti baharu iaitu Pejuang dan Parti Wawasan Negara (WAWASAN) yang diterajui bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Hubungan PAS dan BERSATU terus menjadi perhatian apabila kedua-dua parti bertanding menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun PAS memutuskan untuk tidak berkempen membantu calon BERSATU. Gabungan itu akhirnya gagal memenangi sebarang kerusi.
Bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini pula, PAS menerusi PN menjalin persefahaman dengan Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan pertembungan di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan BN bertanding di 25 kerusi manakala PN bertanding di baki 11 kerusi.
Bagaimanapun, BERSATU menolak kerjasama itu dan memilih bertanding menggunakan lambang sendiri di 24 kerusi, sekali gus menyaksikan pertembungan dengan calon PN di lapan kawasan.
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut mengesahkan beliau akan berundur daripada jawatan Presiden BERSATU selepas penggal kepimpinannya berakhir tahun depan, tanpa mengira keputusan PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, hasrat itu telah dinyatakan sejak Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU pada 2023 sebagai sebahagian daripada pelan peralihan kepimpinan parti.
“Saya sudah menyatakan bahawa ini adalah penggal terakhir saya sebagai Presiden. Perubahan kepimpinan perlu berlaku untuk menyegarkan semula BERSATU dan membawa parti ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Muhyiddin sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden pada Perhimpunan Agung BERSATU 2023, namun menarik semula keputusan itu sehari kemudian selepas mendapat desakan sebulat suara daripada perwakilan agar beliau kekal menerajui parti untuk satu penggal terakhir.










