BN Tegas Kekal Politik Sederhana, Tolak Sentimen Perkauman Walaupun Bekerjasama Di PRN N.Sembilan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menegaskan kerjasama politik yang dijalinkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak akan mengubah pendirian atau prinsip perjuangan gabungan itu yang berteraskan kesederhanaan, kestabilan dan perpaduan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, gabungan itu akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta formula kenegaraan yang menjadi asas pembinaan negara sejak merdeka.

Menurut beliau, BN tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan mahupun menerima naratif politik mana-mana pihak semata-mata kerana menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya.

“BN akan terus menawarkan kepimpinan yang membina jambatan perpaduan, mengukuhkan keyakinan rakyat serta membawa masa depan yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Selama lebih enam dekad, BN membuktikan sebuah negara majmuk mampu dibangunkan melalui perkongsian kuasa, sikap saling menghormati dan pendekatan sederhana. Rekod inilah yang menjadi kekuatan kami dalam mengekalkan kestabilan, keharmonian dan kemajuan negara,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Zambry berkata, BN tetap berpendirian menolak sebarang kenyataan atau tindakan yang membangkitkan sentimen perkauman, mempertikaikan kedudukan mana-mana kaum sebagai rakyat Malaysia atau mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi turut menyifatkan politik berasaskan ketakutan yang dimainkan pihak tertentu sebagai berbahaya kerana hanya mengundang prasangka, perpecahan dan kebencian antara rakyat.

Katanya, cubaan menggambarkan sesuatu kaum akan terancam sekiranya kerjasama politik tertentu menerajui pentadbiran merupakan naratif yang tidak membawa manfaat kepada negara.

Sehubungan itu, beliau menegaskan persefahaman politik yang dimeterai bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan tidak sesekali bermaksud BN mengorbankan identiti atau menerima pendekatan politik pihak lain, sebaliknya kekal berpegang kepada prinsip perjuangan yang menjadi teras gabungan itu sejak sekian lama.

BBerkaitan

Latest articles