KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang berpotensi kembali menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) buat kali pertama sejak 2017 apabila dijangka menjadi tuan rumah Grand Prix (GP) Bahrain yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.
Menurut laporan ESPN yang memetik sumber, perlumbaan GP Bahrain yang sepatutnya berlangsung pada April lalu terpaksa ditangguhkan bersama GP Arab Saudi susulan konflik perang di Iran.
Bahrain sebelum ini merancang menjadualkan semula perlumbaan berkenaan pada 4 Oktober, iaitu di celah jadual perlumbaan GP Azerbaijan dan GP Singapura. Bagaimanapun, ketegangan yang semakin memuncak di rantau Asia Barat menyebabkan hasrat itu tidak dapat direalisasikan.
Susulan itu, Litar Antarabangsa Sepang dilaporkan tampil menawarkan diri sebagai venue alternatif bagi memastikan perlumbaan berkenaan dapat diteruskan mengikut kalendar musim ini.
Menariknya, meskipun perlumbaan bakal diadakan di Malaysia, Bahrain difahamkan masih akan menanggung kos penganjuran. Perlumbaan itu juga dijangka kekal dipersembahkan sebagai Grand Prix Bahrain, namun nama rasmi acara berkenaan masih dalam perbincangan.
Sumber sama memaklumkan beberapa rundingan telah diadakan sejak beberapa hari lalu, termasuk membabitkan aspek kewangan serta penjenamaan rasmi perlumbaan tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung perkara itu hari ini.
Sepang sebelum ini merupakan antara venue popular dalam kalendar F1 sebelum perlumbaan terakhir dianjurkan pada 2017, selepas itu ia tidak lagi tersenarai dalam siri perlumbaan dunia berkenaan.
Dalam masa sama, perang di Iran turut memaksa Formula Satu menyusun semula baki jadual musim 2026. Daripada 24 perlumbaan yang dirancang, empat daripadanya dijadual berlangsung di Asia Barat.
Mengikut perjanjian komersial F1 dengan pasukan bertanding dan penyiar antarabangsa, kalendar musim perlu mempunyai sekurang-kurangnya 22 perlumbaan. Justeru, sekiranya dua perlumbaan di Asia Barat dibatalkan, lokasi alternatif perlu dikenal pasti.
Selain Sepang yang dijangka menggantikan GP Bahrain, Litar Imola di Itali dan Portimao di Portugal turut dipertimbangkan sebagai lokasi perlumbaan pengganti, dengan Imola dilaporkan menjadi pilihan utama untuk menutup tirai musim ini. – Agensi










