SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim hari ini menjawab teguran Perdana Menteri yang menyifatkan tindakan beliau dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebagai “biadab dan tidak bertamadun”, dengan menegaskan kerajaan negeri tidak pernah membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Undang Yang Empat Besar.
Beliau berkata, pihaknya menghormati keprihatinan Perdana Menteri terhadap institusi diraja, namun khuatir teguran berkenaan dibuat berdasarkan gambaran yang tidak lengkap mengenai peranan sebenar Menteri Besar dan Exco dalam perkara tersebut.
“Saya mengambil maklum kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semalam yang menyifatkan tindakan saya dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai biadab dan tidak bertamadun.
“Saya menghormati keprihatinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri terhadap institusi diraja. Namun saya khuatir teguran tersebut berasaskan gambaran yang tidak lengkap tentang peranan sebenar Menteri Besar dan Exco dalam perkara ini,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau menegaskan Menteri Besar dan Exco tidak membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Undang Yang Empat Besar.
Sebaliknya, katanya, MMKN hanya membincangkan pendirian pentadbiran negeri terhadap proklamasi yang dikemukakan sebagai keputusan Undang Yang Empat.
“Persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terhadap tindakan pentadbiran susulan tidak bermaksud MMKN mengambil alih kuasa para Undang atau menjadi pihak yang membuat keputusan mengenai kedudukan Undang Yang Empat Besar,” katanya.
Menurut beliau, dirinya dan barisan Exco juga tidak akan mencampuri siasatan, pertimbangan adat atau proses pemilihan yang terletak dalam bidang kuasa pihak-pihak sebagaimana ditentukan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Katanya, segala persoalan mengenai kesahihan proklamasi, pematuhan tatacara dan kesan perlembagaannya perlu ditentukan menurut Undang-Undang Tubuh berkenaan serta proses undang-undang yang berkaitan.
“Kami menghormati apa-apa perintah mahkamah yang berkuat kuasa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Besar mendedahkan beliau dimaklumkan terdapat arahan yang melarang ahli-ahli Exco memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri sejak semalam.
Malah, menurutnya, larangan itu bukan sahaja membabitkan akses ke pejabat, tetapi Exco turut dikatakan tidak dibenarkan menjalankan fungsi masing-masing termasuk mengadakan mesyuarat MMKN.
“Saya memohon pihak berkuasa yang berkenaan menilai semula arahan tersebut dengan segera, termasuk asas dan skopnya, dengan mengambil kira pertikaian yang masih belum dimuktamadkan serta keperluan memastikan urusan rakyat dan pentadbiran negeri tidak terganggu,” katanya.
Beliau berkata permohonan itu dibuat melalui saluran yang tertib tanpa menghalang pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab keselamatan masing-masing.
Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak memberi ruang kepada kerajaan negeri dan proses perundangan untuk menyelesaikan pertikaian berkenaan.
“Kerajaan Negeri akan terus bertindak secara beradab, menghormati institusi Raja Negeri Sembilan dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.
Menteri Besar turut menegaskan beliau tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa memberikan nasihat berhubung pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Justeru, beliau berpendirian barisan Exco sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.
“Ini penting. Kerajaan kita kena berjalan, pentadbiran kerajaan kena berjalan, kepentingan rakyat mesti kita utamakan.
“Sekiranya Exco tidak dibenarkan untuk memasuki pejabat ataupun mengadakan mesyuarat Exco dan sebagainya, sekali gus ini saya anggap sebagai menafikan hak rakyat kerana banyak keputusan-keputusan ini berkaitan dengan kepentingan rakyat,” katanya.
Menjawab soalan media, beliau mengesahkan larangan terhadap Exco itu bermula sejak semalam dan masih berkuat kuasa hari ini.
Bagaimanapun, katanya, tiada arahan bertulis diterima dan Exco hanya dimaklumkan mengenainya secara lisan.
“Dimaklumkan secara lisan kepada semua ahli Exco, tak dibenarkan masuk ke Wisma Negeri dan tidak boleh menjalankan fungsi Exco, dan tidak juga boleh mengadakan mesyuarat Exco.
“Ini satu perkara yang saya rasa amat tidak wajar kerana tidak ada perintah mahkamah, tidak ada arahan bertulis dan sebagainya,” katanya.
Apabila diasak wartawan mengenai pihak yang mengeluarkan arahan berkenaan, beliau sekadar menjawab ia datang daripada “pihak berkuasa” tanpa menamakan mana-mana agensi.
Beliau turut mengesahkan dirinya setakat ini tidak berdepan halangan untuk memasuki pejabat dan larangan berkenaan hanya membabitkan barisan Exco.
Mengenai surat pemecatan Exco, beliau berkata semua Exco dipercayai sudah menerimanya, namun mengulangi pendirian dalam kenyataan medianya pada 21 September bahawa pemecatan itu tidak sah.
Beliau berkata sebarang pemecatan Exco perlu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Sementara itu, ditanya mengenai Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau berkata belum membuat keputusan mengenai tarikh persidangan seterusnya.
Menurutnya, DUN kali terakhir bersidang pada Ogos lalu dan kerajaan negeri masih berada dalam tempoh enam bulan yang diperuntukkan sebelum persidangan seterusnya perlu diadakan.










