MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menyarankan agar kementerian dapat mewujudkan sistem data raya bagi mendapatkan maklumat dalam masa sebenar tentang situasi bekalan sayur di negara ini.
Mohamad berkata, langkah jangka panjang itu adalah bagi mendapatkan maklumat mengenai jenis sayuran yang sedang ditanam, jumlah pengeluaran, lokasi pengeluaran, jumlah import dan eksport, jumlah permintaan serta kos pengeluaran bagi bekalan tersebut.
Menurut beliau, melalui sistem tersebut Kementerian akan dapat membuat unjuran dan persiapan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Saya bukanlah mahir dalam bidang teknologi maklumat (IT) tetapi jika saya boleh melihat ‘dashboard’ sistem itu melalui telefon pintar sahaja, bila-bila masa kita boleh membuat persiapan awal.
“Misalnya jika kita dah boleh unjur 3 bulan lagi bekalan timun akan berkurangan, maka kita dah boleh minta agensi untuk giatkan tanaman sayuran jenis itu mulai minggu ini.
“Saya yakin ramai anak muda di luar sana mampu menghasilkan sistem ini. Saya rasa Kementerian tidak ada halangan untuk memberikan dana yang sewajarnya untuk mereka membangunkan sistem ini demi kebaikan semua,” katanya dalam Facebook semalam.
Beliau berkata demikian setelahmembaca laporan mengenai kekurangan bekalan sayur seperti kacang panjang, bendi dan terung di pasaran.
Ujar beliau, bagi masalah tersebut, beliau telah mengarahkan pegawai dan agensi terlibat seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA untuk mengambil langkah intervensi segera untuk menambah dan mencukupkan bekalan.