KUALA LUMPUR: Masyarakat diingatkan agar tidak terlalu cepat membuat kesimpulan mengenai isu-isu kritikal negara, khususnya yang melibatkan institusi penting umat Islam, semata-mata berpandukan persepsi atau perkara yang didengari.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu besar yang menyentuh kepentingan ramai seharusnya ditangani menerusi budaya perbincangan yang matang dan berteraskan fakta.
Menurut beliau, semangat Musyawarah Nasional menekankan kepentingan duduk semeja untuk mendengar pelbagai sudut pandang sebelum sesuatu pendirian dibentuk.
”Apabila berhadapan dengan sesuatu isu yang besar dan menyentuh kepentingan ramai, jangan terlalu cepat membuat kesimpulan hanya berdasarkan apa yang kita dengar atau persepsi yang terbentuk.
”Duduklah semeja, dengarkan pandangan, teliti fakta dan fahami sesuatu perkara daripada setiap sudut sebelum kita membentuk pendirian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau.
Saranan itu disuarakan beliau selepas mengikuti secara teliti perbincangan menerusi program Musyawarah Nasional 2.0 bertajuk “Realiti & Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji”.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan perbezaan pendapat adalah perkara biasa, namun ia tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk masyarakat berdialog demi mencari titik kefahaman.
Tambah beliau, pendekatan itu amat kritikal terutamanya apabila ia membabitkan institusi yang memikul amanah serta kepercayaan jutaan rakyat Malaysia.
”Kita mungkin tidak sentiasa mempunyai pandangan yang sama, tetapi perbezaan tidak seharusnya menghalang kita daripada berbicara secara matang dan mencari titik kefahaman.
”Apatah lagi apabila sesuatu perkara itu melibatkan sebuah institusi yang begitu dekat dengan umat Islam serta memikul amanah dan kepercayaan jutaan rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada urus setia, barisan ahli panel serta peserta yang menjayakan wacana berkenaan dan berharap budaya perbincangan berfakta dapat terus disuburkan.










