Pemuda Bersatu Nafi CSA Jejaskan Fungsi Pembangkang

KUALA LUMPUR: Pemuda Bersatu menegaskan enam Ahli Parlimen parti itu yang menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan tidak menggadaikan peranan pembangkang sebagai semak dan imbang.

Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid, berkata CSA bukan perkongsian kuasa atau penyertaan dalam Kabinet, sebaliknya bertujuan memastikan kebajikan rakyat terus terbela menerusi penyaluran peruntukan kawasan.

Beliau berkata, perjanjian itu turut memperjuangkan reformasi institusi, termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri serta memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya.

Menurutnya, Bersatu kekal sebagai blok pembangkang yang bebas dan akan terus memperjuangkan agenda pemerkasaan Bumiputera di Parlimen.

Kenyataan itu menyusul kritikan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mendakwa CSA boleh menjejaskan kebebasan wakil rakyat pembangkang dalam menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menandatangani perjanjian itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).

Mereka bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menandatangani CSA yang antara lain menetapkan sokongan kepada kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen, termasuk dalam pengundian Belanjawan 2027.

BBerkaitan

Latest articles