Malaysia Perkukuh Pembangunan Bakat STEM Menerusi World of Robotics Championship (PRO) 2026

KUALA LUMPUR,– World of Robotics Championship (PRO) 2026 (WRC PRO 2026) menjadi platform pembangunan bakat teknologi negara apabila menghimpunkan pelajar berusia 13 hingga 19 tahun daripada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Kolej Vokasional dan sekolah menengah seluruh negara.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) pada 27 dan 28 Jun itu dianjurkan oleh World of Robotics Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Rakan Muda.

Penganjuran kejohanan itu bertujuan memperkukuh ekosistem pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selain melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi yang bersedia memenuhi keperluan teknologi masa depan.

Tidak seperti pertandingan robotik konvensional, WRC PRO menggunakan set robotik berasaskan industri yang diperbuat daripada aluminium gred aeroangkasa, sekali gus memberi pengalaman pembelajaran lebih hampir kepada aplikasi sebenar dalam sektor kejuruteraan dan automasi.

Sepanjang pertandingan, peserta dikehendaki mereka bentuk, membina dan memprogram robot bagi menyelesaikan pelbagai tugasan yang menguji kemahiran kejuruteraan, pengaturcaraan, kreativiti, penyelesaian masalah, komunikasi serta kerja berpasukan.

Kejohanan itu turut berfungsi sebagai platform pemilihan wakil negara ke pertandingan robotik antarabangsa, dengan juara setiap kategori bakal mewakili Malaysia ke pertandingan robotik di Busan, Korea Selatan pada November 2027.

Pertandingan tahun ini mempertandingkan tiga kategori iaitu RoboSoccer Prime, RoboSoccer Max dan Airsport Max.

Peserta yang berjaya menerima pingat gangsa, perak dan emas berserta sijil penyertaan serta hadiah wang tunai, manakala pemenang pingat emas turut menerima tiket penerbangan bagi mewakili Malaysia ke pertandingan robotik antarabangsa.

Majlis penutupan kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Dato’ Ruziah Shafei.

Turut hadir Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif World of Robotics Sdn. Bhd., Lee Yew Kein; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan APU, Prof. Ir. Dr. Sivakumar; Dekan Fakulti Komputer dan Meta-Teknologi APU, Prof. Madya Dr. Ing. Maizatul Hayati Mohamad Yatim; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Datin Salwa Dalib; Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI, Dr. Mohd Norazmi Nodin serta pengetua-pengetua sekolah dan MRSM dari seluruh negara.

Menurut penganjur, WRC PRO 2026 dianjurkan bagi memupuk minat generasi muda terhadap bidang STEM, robotik dan automasi di samping membangunkan kemahiran kejuruteraan, reka bentuk serta pengaturcaraan robot.

Selain itu, kejohanan berkenaan turut bertujuan menggalakkan pemikiran kritis, kreativiti dan inovasi, memberi pendedahan kepada teknologi robotik bertaraf industri serta melahirkan bakat robotik negara yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Sejak ditubuhkan pada 2011, World of Robotics Sdn. Bhd. telah melatih ribuan pelajar dan guru di seluruh negara menerusi program latihan, pertandingan dan pembangunan bakat robotik, selain menjadi antara penganjur utama pertandingan robotik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

BBerkaitan

Latest articles