Selepas Perjumpaan Zahid Dan Ka Siong, MCA Adakan Mesyuarat Tergempar

KUALA LUMPUR: Belum reda isu agihan kerusi Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, MCA akan mengadakan mesyuarat tergempar petang ini susulan pertemuan antara Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Sumber parti itu memaklumkan mesyuarat berkenaan akan berlangsung di Wisma MCA, ketika rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti masih didakwa belum mencapai penyelesaian.

“Setakat ini belum selesai lagi agihan kerusi.

“Semua kebarangkalian akan dibincangkan dan dinilai dari segi positif dan negatif.

“Pendek kata, tidak akan menolak sebarang kemungkinan,” katanya memetik FMT ketika ditanya sama ada MCA akan mempertimbangkan untuk menggunakan logo sendiri pada PRN Melaka, 14 November ini.

Sabtu lalu, Wee bersama beberapa pemimpin MCA bertindak meninggalkan majlis pengumuman calon BN selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pengagihan kerusi.

Wee mendakwa beberapa kerusi yang pernah ditandingi MCA diberikan kepada parti lain tanpa rundingan, susulan kerjasama BN khususnya antara UMNO dan PAS.

Pada PRN Melaka 2021, MCA bertanding di tujuh kerusi, namun kali ini hanya diperuntukkan dua kerusi iaitu Kelebang dan Machap Jaya, yang pernah dimenangi parti itu.

BN menamakan penyandang kedua-dua kerusi berkenaan, Lim Ban Hong dan Ngwe Hee Sem, untuk mempertahankan kemenangan mereka.

Selain itu, BN tidak mengumumkan calon bagi tujuh kerusi yang pernah ditandingi MCA pada pilihan raya lalu, termasuk Bemban, Ayer Keroh, Bandar Hilir, Kota Laksamana dan Kesidang.

Semalam, Zahid mendakwa rundingan khas agihan kerusi bersama MCA sudah selesai dengan perkembangan positif.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut menyifatkan rundingan itu sebagai positif, selain mendakwa kebuntuan antara kedua-dua pihak berjaya dileraikan.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada MCA untuk mengumumkan hasil perbincangan berkenaan.

Namun, Wee menegaskan masih terlalu awal untuk menyifatkan rundingan itu sebagai positif kerana MCA belum mencapai matlamat yang diperjuangkan parti berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahid menerusi hantaran di Facebook membayangkan keadaan dalam BN kekal baik apabila memuat naik gambar pertemuannya dengan Wee berserta kapsyen, “Don’t worry. All is well. Kita Geng Biru.”

BBerkaitan

Latest articles