Isu Agihan Kerusi MCA Di Melaka Selesai – Ab Rauf

KUALA LUMPUR: Kemelut agihan kerusi membabitkan MCA bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilaporkan selesai selepas rundingan antara kepemimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mencapai penyelesaian.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengesahkan perkara itu ketika ditemui media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

“Isu (agihan kerusi membabitkan MCA bagi PRN Melaka) sudah ‘settle’ (selesai),” katanya.

Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan watikah calon BN bagi PRN berkenaan yang berlangsung secara tertutup.

Bagaimanapun, calon MCA tidak kelihatan pada majlis itu kerana menunggu keputusan mesyuarat tergempar parti berkenaan di Wisma MCA, petang ini.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut mengesahkan perbincangan khas bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ab Rauf berhubung pembahagian kerusi itu berakhir dengan perkembangan positif.

Sebelum ini, MCA menegaskan tidak mengiktiraf calon parti itu yang diumumkan BN tanpa persetujuan kepemimpinan tertinggi, susulan dakwaan kerusi yang sebelum ini ditandingi parti berkenaan diberikan kepada parti lain.

Isu itu turut membabitkan kedudukan dua penyandang MCA, Datuk Ngwe Hee Sem di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dan Datuk Lim Ban Hong di Klebang, yang diumumkan sebagai calon BN pada Sabtu lalu.

BBerkaitan

Latest articles