Budi95: Penjimatan Subsidi Bahan Api Diunjur RM4 Bilion Setahun

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan program Budi Madani RON95 (Budi95) secara keseluruhan dijangka menjana penjimatan subsidi bahan api antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, kata Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, jumlah sebenar penjimatan subsidi bahan api bagi tahun ini hanya dapat dimuktamadkan pada hujung tahun selepas mengambil kira pelarasan transaksi sebenar, harga pasaran mingguan, kadar pertukaran mata wang dan jumlah penggunaan yang disahkan.

Menurutnya, pengurangan had kelayakan Budi95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan sebelum dinaikkan semula mulai 1 September lalu merupakan langkah proaktif kerajaan untuk memastikan bekalan bahan api negara terus terjamin ketika berdepan ketidaktentuan bekalan global susulan konflik di Asia Barat.

“Tanpa tindakan segera, negara berdepan dengan risiko sebenar kekurangan stok bahan api yang boleh menjejaskan kehidupan harian rakyat serta kelancaran aktiviti ekonomi negara,” katanya ketika menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (Permatang Pauh) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Amir Hamzah berkata, keputusan mengehadkan kuota itu turut mengambil kira peningkatan mendadak tanggungan subsidi RON95 dan diesel, daripada sekitar RM700 juta sebulan pada Januari 2026 kepada hampir RM5 bilion sebulan pada Mac, sebelum mencecah RM7.5 bilion sebulan susulan krisis berkenaan apabila harga minyak mentah Brent meningkat sehingga AS$120 setong.

Beliau berkata, analisis data penggunaan sebenar Budi95 bagi tempoh Oktober 2025 hingga Mei 2026 mendapati kurang daripada satu peratus pengguna menggunakan lebih 200 liter RON95 secara konsisten.

Katanya, langkah itu bukan bertujuan mengurangkan perlindungan kepada rakyat, sebaliknya memastikan subsidi disalurkan secara bersasar kepada rakyat Malaysia yang layak dan mengelakkan ketirisan kepada pihak yang tidak sepatutnya menerima manfaat berkenaan.

“Sepanjang tempoh had 200 liter dilaksanakan, rakyat Malaysia yang layak dapat terus menikmati RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, manakala harga pasaran sebenar hanya terpakai kepada pihak yang tidak layak,” katanya.

Beliau berkata, pengguna yang memerlukan kelayakan liter tambahan, termasuk pemandu e-hailing, kekal menerima kelayakan berkenaan berdasarkan jarak perjalanan sebenar yang disahkan melalui data syarikat pengendali.

Amir Hamzah berkata, kerajaan kemudian menaikkan semula had kelayakan Budi95 kepada 300 liter sebulan mulai 1 September 2026 susulan keadaan bekalan bahan api yang lebih stabil, manakala perbelanjaan subsidi ketika ini berada pada sekitar RM4 bilion sebulan.

Menjawab soalan tambahan mengenai statistik pengguna yang mencapai had maksimum kuota mengikut kategori, beliau berkata rekod transaksi menerusi penggunaan MyKad membolehkan kerajaan memantau corak pembelian Budi95.

Katanya, data menunjukkan pengguna yang menggunakan lebih 200 liter secara konsisten berjumlah kurang daripada satu peratus, dan corak itu turut selari dengan penggunaan melebihi 300 liter selepas kuota dinaikkan semula.

Beliau berkata, kerajaan turut memantau ketirisan subsidi, termasuk penyaluran kepada bukan warganegara dan bahan api yang dibawa keluar merentasi sempadan negara.

Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Amir Hamzah berkata penambahbaikan turut dilaksanakan menerusi program Budi Diesel, termasuk peningkatan kelayakan penggunaan kepada 400 liter sebulan bagi kumpulan yang berkenaan.

Beliau berkata, penjimatan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi secara menyeluruh akan dimanfaatkan semula bagi memperkukuh bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta inisiatif lain yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

BBerkaitan

Latest articles