Kes Kematian Norizan Perlu Disiasat Bawah Seksyen 302 – Rayer

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer menggesa siasatan terhadap kematian Norizan Zulkifli diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berbanding Seksyen 331 akta sama.

Beliau berkata, klasifikasi kes di bawah Seksyen 302 perlu dipertimbangkan segera bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung kemungkinan kesalahan membunuh.

Menurutnya, laporan lengkap bedah siasat yang mengesahkan punca kematian Allahyarham masih belum diperoleh, justeru beliau mempersoalkan tindakan mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 331.

“Saya tidak setuju perkara ini disiasat di bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan. Sepatutnya ia disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang memetik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, sebagai berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah bagi memeras pengakuan bersalah atau memaksa pemulangan harta.

Rayer berkata, berdasarkan laporan media itu, hasil rakaman percakapan pakar perunding perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang menjalankan bedah siasat mendapati terdapat kecederaan luaran pada beberapa bahagian tubuh mangsa.

Beliau berkata, corak kecederaan itu dilaporkan selari dengan trauma tumpul dan bukan akibat perbuatan sendiri.

Bagaimanapun, katanya, laporan lengkap bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian masih belum diperoleh, manakala polis sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak hospital.

“Kalau laporan bedah siasat yang lengkap belum diperoleh, bagaimana pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terburu-buru mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Peguam Negara dan Ketua Polis Negara memberi perhatian segera terhadap perkara berkenaan, termasuk meneliti semula klasifikasi kes berdasarkan hasil siasatan serta bukti perubatan yang diperoleh.

Selain itu, Rayer turut meminta pihak berkuasa mengenal pasti pegawai penyiasat serta anggota yang membawa Allahyarham keluar dari lokap untuk disoal siasat.

Beliau juga menggesa anggota yang terlibat secara langsung dalam proses soal siasat itu digantung tugas sementara menunggu siasatan selesai.

Menurutnya, kenyataan bahawa kes sedang disiasat sahaja tidak memadai tanpa penjelasan mengenai tindakan terhadap anggota yang terlibat dan perkembangan siasatan.

Rayer berkata, beliau membangkitkan isu berkenaan ketika sesi perbahasan di Parlimen kelmarin selepas menerima memorandum daripada keluarga Allahyarham yang hadir ke Parlimen untuk menuntut perhatian terhadap kes itu.

Katanya, beliau turut membangkitkan perkara tersebut ketika Menteri Dalam Negeri membuat penggulungan, susulan janji yang diberikan kepada keluarga mangsa.

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri memberi jaminan bahawa kes berkenaan akan disiasat dan pihak yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan sewajarnya.

Pada masa sama, Rayer menegaskan bahawa gesaannya bukan bertujuan menyalahkan PDRM secara keseluruhan, sebaliknya memastikan dakwaan salah laku yang berlaku ditangani secara serius dan pihak yang bertanggungjawab diambil tindakan mengikut undang-undang.

Beliau berkata, kejadian seumpama itu perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kes sama terus berulang.

Rayer turut menunjukkan gambar kecederaan yang diterimanya daripada keluarga Allahyarham dan berkata keadaan tersebut perlu diberi pertimbangan dalam menentukan hala tuju siasatan.

BBerkaitan

Latest articles