SEREMBAN: Malaysia wajar menilai semula kewujudan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini sekiranya badan antarabangsa itu terus gagal memberikan kerjasama dalam pengurusan pelarian, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurut beliau, kerjasama erat antara kerajaan dan UNHCR amat penting bagi memastikan setiap pelarian melalui proses saringan keselamatan yang ketat sebelum diberikan kad pengenalan UNHCR.
Katanya, kegagalan mewujudkan mekanisme saringan yang jelas bukan sahaja membebankan negara, malah berpotensi menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelarian kerana mudah memperoleh pengiktirafan daripada UNHCR.
“Jika mereka tidak mahu bekerjasama, sudah tiba masanya kita mempertimbangkan semula keberadaan UNHCR di negara ini. Kita tidak boleh terus menanggung beban tanpa kawalan yang jelas.
“Keadaan ini boleh menjadi tarikan kepada pelarian untuk datang ke Malaysia kerana adanya pejabat UNHCR yang dilihat mudah mengeluarkan kad. Perkara ini perlu diuruskan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Pangkalan Udara Sendayan, hari ini.
Mohamad turut memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memperkukuh mekanisme saringan supaya setiap permohonan mendapatkan kad UNHCR hanya boleh diproses selepas mendapat kelulusan dan penelitian pihak kementerian.
Beliau turut menegaskan Malaysia memerlukan satu perjanjian rasmi dengan UNHCR bagi memperincikan bidang kuasa, tanggungjawab serta had peranan badan itu sepanjang beroperasi di negara ini.
Katanya, ketika ini tiada prosedur operasi standard (SOP) yang jelas mengawal proses berkenaan sehingga membuka ruang kepada individu membuat permohonan secara dalam talian ketika masih berada di Myanmar sebelum memasuki Malaysia untuk mendapatkan kad UNHCR.
“Keadaan ini menunjukkan proses saringan kita tidak berlaku sebagaimana sepatutnya. Perkara ini mesti diperbetulkan supaya pengurusan pelarian lebih tersusun dan terkawal,” katanya.
Dalam masa sama, Mohamad menegaskan kerajaan tetap berpegang kepada prinsip kemanusiaan, namun aspek keselamatan negara tidak boleh dikompromi.
“Kita perlu mengimbangi nilai kemanusiaan dengan keperluan menjaga keselamatan serta ketenteraman awam. Jangan sampai sikap prihatin kita akhirnya mengundang risiko terhadap keamanan negara,” katanya.










